Ahad, 23 Ogos 2009

Permatang Pasir:Undi Majoriti PAS akan merosot!-Rais Yatim




Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yakin majoriti undi pembangkang pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan menurun kerana rakyat sudah sedar bahawa mereka perlukan pembaharuan.

Beliau berkata tindakan pembangkang menggunakan isu peribadi untuk menyerang calon BN Rohaizat Othman membuka mata rakyat bahawa mengundi sebenarnya perlu menggunakan akal dan bukan emosi.

"Kalau nak menang pilihan raya jangan mengutuk orang lain, jangan gunakan isu peribadi dan karektor atau sahsiah orang lain. Kalau nak menang pilihan raya dengan cara itu, itu bukan menang pilihan raya tetapi menang mentohmah orang," katanya kepada pemberita selepas melawat bilik operasi RTM di Hotel Sunway di Bukit Mertajam.

Beliau berkata amat penting bagi rakyat negara ini untuk berpegang kepada Rukun Negara dan menyerahkan kepada sistem demokrasi untuk menentukan siapa yang menang kelak.

Inilah masanya semua pihak perlu bersatu dan bertindak berlandaskan Rukun Negara dan keimanan dan bukannya menggunakan cara tidak berhemah untuk mencapai kejayaan, katanya.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lalu kerana serangan jantung.



BN meletakkan Rohaizat, 38, yang juga setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, untuk menentang Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, 52.

Mengenai sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52, Rais berkata sambutan akan dibuat secara sederhana di perkarangan bangunan Parlimen dan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menyembahkan struktur program sambutan.

Katanya, butiran lanjut mengenai sambutan kemerdekaan secara sederhana sebagai menghormati bulan Ramadan dan mengelak daripada penularan wabak influenza A (H1N1), akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet minggu depan.

Terdahulu, hujan lebat tidak menghalang Rais daripada mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada orang ramai di sekitar pekan Permatang Pauh dan Sama Gagah di sini sempena bulan kemerdekaan.

Tanpa menghiraukan keadaannya yang basah, Rais terus menemui para peniaga di sekitar deretan kedai dan pasar awam di situ untuk menyerahkan Jalur Gemilang dan meminta mereka mengibarkannya menjelang 31 Ogos ini. BERNAMA

Komen saya-Kenyataan Rais Yatim ni nampak macam BN dah kalah je?sebab dia kata undi majoriti PAS akan merosotkan?maksudnya PAS menang dengan majoriti yang kurang je,tapi tetap menang kan?ke saya salah tafsir?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan