11 Ogos 2009-Replika gergasi perdana menteri di perkarangan kompleks kuil Batu Caves telah dirobohkan semalam, tidak lama selepas ia menjadi isu di internet, khususnya di kalangan penyokong pembangkang.
Mereka menyifatkan imej besar itu bertentangan dengan sikap UMNO yang membantah keras replika Datuk Seri Anwar Ibrahim, di simpang utama kira-kira dua kilometer dari kuil tersebut, tahun lalu.
Blog rasmi ADUN Batu Caves, Amirudin Shari kelmarin menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin UMNO dan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar tetapi berdiam diri terhadap replika Najib.
Ahli jawatankuasa kuil itu N Sivakumar bagaimanapun menjelaskan bahawa replika Datuk Seri Najib Razak diturunkan selepas tamat festival tiga hari itu.
Kunjungan Malaysiakini pagi ini di kuil Sri Mariaman mendapati papan-papan lapis yang digunakan untuk mempotretkan imej Najib disusun tidak jauh dari kaki struktur besi penyangga replika tersebut.
Empat pekerja sedang merungkaikan struktur besi yang terletak kira-kira 20 meter dari pintu utama kawasan tarikan pelancong itu.
Sebelum ini, replika Najib berwajah tanpa senyuman yang sedang mengangkat tangan kanannya, sementara tangan kirinya di belakang, didirikan di hadapan pintu masuk kuil berkenaan.
Ia terletak kira-kira 50 meter dari patung Dewa Muruga berwarna emas yang menjadi mercu tanda destinasi tumpuan pelancong itu.
Imej berketinggian kira-kira 10 meter itu memaparkan imej Najib berkemeja oren – warna yang dikaitkan dengan pertubuhan Hindraf – dan berseluar hitam dalam keadaan seolah - olah sedang melangkah.
Sivakumar, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata bahawa pembinaan replika itu bagi meraikan kedatangan Najib di situ yang dijadikan tapak festival "Satu Malaysia" yang tamat kelmarin setelah 30 tahun kompleks kuil itu tidak dikunjungi oleh perdana menteri.
Ia juga dibina bagi menandakan sokongan terhadap gagasan Najib itu, tambahnya.
"Ia sebahagian daripada sambutan terhadap perdana menteri. Kita juga mahu menunjukkan sokongan terhadap konsep Satu Malaysia yang diperkenalkannya," katanya.
Sivakumar berkata beliau "tidak tahu" kos pembinaan replika itu yang didirikan oleh satu jawatankuasa kecil sambutan festival itu - kerjasama antara Majlis Hindu Malaysia dan kuil berkenaan.
Jelasnya lagi, wang itu disumbang oleh masyarakat sekitar dan peniaga di kawasan kompleks tersebut.
Festival yang julung kali diadakan akan diraikan secara tahunan memandangkan sambutan menggalakkan, sehingga 10,000 orang, daripada masyarakat pelbagai kaum, tambah Sivakumar.
Pesta tersebut dimeriahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, pertunjukan bunga api dan gerai jualan.
Ketika kunjungannya Sabtu lalu, Najib turut diperdengarkan lagu tema slogan perdana menteri itu dalam irama hip hop dan R&B buat pertama kalinya.
Lagu berbahasa Inggeris bertajuk "One Malaysia, Living Harmony" itu dihasilkan tiga remaja India, V Vishal dan pasangan kembar, K Rashmika dan K Raanita.
Pengliporlari - Mungkin patung 1 malaysia tu nak diusung ke Permatang Pasir untuk menandakan 1 lagi kekalahan UMNgOk/BN dalam PRK..??!!?
Berita sebelumnya....
Selepas replika gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan DUN Batu Caves menjadi kontroversi antara PKR dengan Umno, kini patung besar Datuk Seri Najib Razak di situ dijadikan isu.
Namun seorang pemimpin PKR menyifatkan replika perdana menteri di perkarangan kuil Batu Caves yang dinaikkan "tidak ada masalah apa-apa" kerana "kami tidak pernah menganggapnya haram".
ADUN Batu Caves, Amirudin Shari menjadi sasaran kontroversi susulan kewujudan replika penasihat PKR akhir tahun lalu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Penegakan imej mula memancing kontroversi apabila mufti Perlis waktu itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa ia "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."
Selepas itu, banyak pihak mempertikaikan kehadiran replika besar itu di simpang utama dekat Wisma Keringat - selain dianggap "patung" yang dilarang oleh Islam, ia juga dianggap membazir.
"Tetapi bagi Umno (Gombak) yang ingin mengadakan demonstrasi, kita harap mereka mengambil pendirian yang sama (terhadap patung Najib)," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR.
"Begitu juga mereka yang mengeluarkan fatwa, mengharamkan replika Anwar. Kita harap mereka mengeluarkan fatwa yang sama."
Replika besar Najib dinaikkan beberapa ratus meter di depan patung besar Dewa Muruga yang berwarna emas - di pintu masuk gua Batu Caves - bersempena festival Satu Malaysia di situ selama tiga hari sehingga Ahad.
Pada 29 Oktober tahun lalu, Umno Gombak menentang keras penegakan replika Anwar kerana imej besar berdekatan simpang jalan itu didakwa mengganggu kelancaran lalulintas.
Ketuanya Abdul Rahim Kamaruddin turut mengancam mengadakan "bantahan terbuka" sekiranya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membenarkan tempoh penegakannya dilanjut
sehingga hari natal tahun lalu.
Menurutnya, ketika pemerintahan Umno di Selangor dahulu, parti itu hanya menggunakan imej besar untuk papan iklan, bagi tujuan perlancongan sahaja.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahim enggan mengulas mengenai replika presiden Umno itu buat masa ini dengan alasan "belum melihat sendiri imej tersebut".
Sementara blog rasmi Amirudin semalam menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin Umno dan Dr Asri yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar.
"Masa kita bina replika DSAI (Anwar) dulu di Batu Caves, semua pihak daripada BN bising bagai nak rak, termasuklah mantan mufti Perlis.
"Sekarang kita mohon, apa pula fatwa membina replika Najib di kuil Batu Caves? Mana puak-puak BN atau Umno yang mulut bising hari itu," artikel penulis Shahabaker dipetik.
Dalam tulisan 'Kata dulang paku serpih, dulu kata orang, sekarang kau pula lebih-lebih', penulis itu memuatkan kenyataan dua pemimpin Umno yang mengkritik isu replika Anwar, antaranya:
Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam waktu itu dilaporkan berkata, pembinaannya menunjukkan PKR "mendewa-dewakan pemimpinnya".
Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula dipetik berkata, pembinaan replika itu "tidak diizinkan di sisi agama" dan "usaha taksub" penyokong PKR yang bukan Islam.
P/S:1 Malaysia!Malaysia Boleh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan