SAYA tidak dapat nak bayangkan bagai mana gegak gempitanya sekiranya modeling Kartika Seri Dewi Shukarno, 23 meminum arak dan ditangkap serta dibicarakan dalam mahkamah syariah di Kelantan atau Kedah. Apa lagi kalau mahkamah syariah telah menjatuhi hukum denda sebanyak RM5,000 dan sebat. Wow.... raya sakan kaum kerabat di dalam Umno/BN (UBN) dengan peristiwa itu.
Segenap NGO feminis pejuang hak asasi pun juga akan bangkit serentak. Kemungkinan besar tunjuk-tunjuk perasaan pun akan diadakan di Kota Bharu. NGO bernama MTRK, Perkasa,Badan Bertindak Perpaduan Melayu(BBPM) dan sekufu dengannya bersama Umno dan segala macam kerabatnya akan berarak beramai-ramai membantah keputusan itu yang akan disifatkan sebagai zalim.
Akan dinaikkan sepanduk mencela kerajaan Pas Kelantan sebagai zalim, kolot, tidak tamadun dan sebagainya.
Kenapa saya membayangkan begitu kerana salah seorang bapa UBN, pernah menghina dan mempersendakan hukum hudud. Katanya kalau hukum hudud dilaksanakan di Kelantan ramai penduduk Kelantan akan kudung tangan dan batu jalan juga akan habis kerana digunakan untuk melontar pesalah hudud. Kata-kata itu sangat sinis menunjukkan bencinya dia kepada perundangan Islam.
Saya yakin kalau dia menjadi ketua negara dia akan komen dan kritik hukuman sebab itu sebagai ala Taliban atau persis hukuman di zaman Arab jahiliah.
Tetapi nasib baik apa yang menimpa Kartika Seri Dewi itu berlaku di negeri Pahang Darul Makmur. Mahkamah yang menjatuhi hukuman itu juga mahkamah di Pahang. Negeri asal Tun Razak Hussein dan Najib Razak. Negeri yang sejak tahun 1955 diperintah oleh Perikatan. Maka selamatlah negeri Pahang dicela oleh para pejuang kebangsaan itu.
Apabila mahkamah syariah Pahang menjatuhkan hukuman itu tidak ada apa-apa protes dari wanita Umno, dan puteri Umno. Ia seakan hukuman itu diterima dengan baik oleh Umno. Apakah ini menggambarkan hukuman yang digubal atau dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang itu lebih sahih daripada hukuman yang digubal oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu dulu? Begitukah?
Hari ini Kartika Seri Dewi sepatutnya menjalani hukuman sebat. Beliau telah pun diangkut dari rumahnya di Sungai Siput, Perak oleh Pegawai Jabatan Agama Islam untuk dibawa ke Penjara di Kajang bagi menjalani hukuman berkenaan. Sampai sekarat jalan, Kartika dihantar balik ke rumah kerana hukuman itu ditangguhkan. Alasannya kerana bulan ini bulan Ramadhan.
Penangguhan itu atas permintan Jabatan Peguam Negara. Kenapa pula ditangguhkan dan apakah kena mengena dengan Ramadhan? Bukankah di bulan mulia ini manusia berebut untuk berbuat kebaikan dan amalan soleh. Pelaksanaan hukuman sebat itu adalah antara tuntutan Allah. Apabila penangguhan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara ia menjelaskan bahawa bidang kuasa pelaksanaan hukuman ternyata masih di bawah JPN. Ada hikmahnya penangguhan ini kerana ia menjelaskan antara sebab kenapa perundangan Islam tidak dapat dilaksanakan di Kelantan kerana masalah pelaksanaan hukuman tadi?
Penangguhan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika itu agak aneh sikit. Apakah kerana ia dibimbang memberi impak kepada kepimpiann 1 Malaysia maka ia perlu ditangguh dan mengambil masa sesuai kerana kejadian itu berlaku dinegerinya dan pada masa ini dia PM. Begitukah?
Sekali lagi, keadaan akan menjadi gegak gempita kalau penangguhan itu dibuat oleh kerajaan Pas Kelantan. Sudah tentu kerajaan Pas akan dikatakan meragui perundangan sendiri. Sudah tentu kerajaan Pas akan dikecam. Dalam masa sama kerajaan Pas akan dikatakan tidak bersungguh melaksanakan perundangan Islam dan ianya adalah agenda politik bagi menarik perhatian umah Islam. Tetapi kerana ia berlaku di bumi kelahiran pemimpin 1 Malaysia, maka ia ditangguhkan, dilewat-lewatkan. Dan tidak ada pula suara sumbangan dari mana-mana pihak mempertikaikannya.
Penangguhan sesuatu yang wajib itu tidak baik dilakukan. Kemungkinan dengan penangguhan itu menyebabkan hukuman itu akan berubah. Apa lagi bila ada desakan dan hasutan pihak pejuang hak asasi terutamanya di peringkat internasional menyebabkan ia akan disemak semula. Paling mengesalkan kalau hukuman itu dipinda.
Dalam hal ini kesediaan Kartika untuk membersihkan dirinya kerana minum arak terhalang. Apa kata kalau dalam tempoh penangguhan ini beliau tidak sempat melaksanakan hukuman itu? Apakah pemerintah dalam kes ini kerajaan Pahang akan bertanggungjawab memikul dosanya? Nampaknya begitulah... Apapun syabas diucapkan kepada Kartika kerana redha menerima hukuman berlandaskan firman Allah.
Laporan berita semalam:
SUNGAI SIPUT - “Saya keliru dan rasa seperti ditendang macam bola oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip),” kata model sambilan Singapura, Kartika Sari Dewi, 32, berikutan keputusan pindaan hukuman sebat yang sepatutnya di jalankan ke atasnya pada minggu ini ditangguhkan kerana menghormati bulan Ramadan.
Kartika berkata, dia keliru dengan keputusan pihak berkuasa yang memberi arahan sebelum ini supaya hukuman sebat ke atasnya dijalankan dalam minggu ini tetapi kemudian menangguhkannya secara tiba-tiba.
“Saya sangat keliru, mereka suruh saya pergi jalani hukuman tetapi sampai pertengahan jalan mereka suruh saya balik. Sekarang saya tidak tahu nak buat apa," katanya kepada pemberita sejurus selepas membuat laporan polis, di Ibupejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Kangsar, semalam.
Bapanya, Shukarno Abdul Muttalib berkata, tiga pegawai penguat kuasa Jaip datang ke rumahnya bersama waran tangkap untuk membawa Kartika ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman tetapi lebih kurang satu jam kemudian, anaknya diserahkan semula kepadanya.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan membuat laporan polis kerana keliru dengan keputusan pihak atasan yang menangguhkan hukuman terhadap anaknya dan bimbang pihak tertentu menganggap Kartika lari daripada menjalani hukuman.
“Tiga pegawai datang ke rumah saya kira-kira jam 9.30 pagi dan menunjukkan waran tangkap serta membawa Kartika ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman sebat.
“Tetapi lebih kurang sejam kemudian, pegawai yang sama menyerahkan semula Kartika kepada saya dan mengatakan hukuman sebat ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan.
“Saya membuat laporan polis kerana Kartika ditangkap tetapi dibebaskan semula dan risau sekiranya keputusan itu disalah erti,” katanya.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan telah mengarahkan Kartika menjalani hukuman itu dalam minggu ini tanpa memberikan tarikh sebenar hukuman bakal dijalankan.
Pada 20 Julai lalu, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan