Khamis, 14 Januari 2010

Tazkirah Guru Fizik ku....



"Selamat sejahtera semua," kedengaran satu suara mengucap salam dengan pelat Cina dalam sebuah makmal fizik.

"Selamat sejahtera cikgu," sahut muridnya.

"Baik, hari ini kita sepatutnya mula belajar. Tapi, kamu semua telah lewat tiba. Ada apa masalah ke dalam perjalanan ke makmal tadi?" aju guru Cina tersebut dengan penuh mengambil-berat, sungguhpun di hadapannya itu adalah murid-murid yang bukan dari bangsa dan agamanya.

"Jauhlah nak datang ke makmal ni cikgu, kelas pun habis lewat tadi," jawab salah seorang muridnya.

Tersenyum sahaja si guru mendengar alasan muridnya. Kelas pun bermula. Sebagai seorang yang berststus guru pakar yang mengajar di sekolah berstatus SPB elit, banyak sekali perkara ingin si guru kongsikan dengan muridnya. Pelbagai ragam kelihatan, ada yang mendengar dengan penuh minat. Ada yang menongkat dagu seolah tertekan untuk menangkap mesej pengajaran yang disampaikan dek kerana masalah pelat Cina si guru.

"Kamu di belakang sana, tolong kejutkan rakan di sebelah kamu tu," tegur si guru.

"Baiklah, kita rehat sebentar. Saya nampak ramai yang kelihatan letih dan mengantuk. Siapa nak
refresh, kamu boleh ke luar atau ke tandas untuk seketika, datang balik selepas 5 minit" ujar si guru.

5 minit berlalu, murid-muridnya kembali ke tempat duduk masing-masing. Si guru mula bertanya sesuatu.

"Malam tadi tidur lambat la cikgu, saya bangun tahajud," ujar seorang murid dengan nada bergurau sambil disambut hilai tawa teman-temannya. Mungkin itu satu gurauan yang agak kasar terhadap seorang guru yang bukan beragama Islam, tapi si guru hanya tersenyum.

"Kamu mahu menjadi Muslim yang baik? Kamu tahu tak erti jihad dalam Islam?" terpacul soalan bonus dari mulut si guru dengan satu simpulan senyuman yang manis. Persoalan itu seakan membunuh hilai tawa muridnya.

"Saya tahu, bangun tahajud adalah satu ibadat untuk menjadikan kamu Muslim yang baik. Muslim yang baik adalah Muslim yang bukan sahaja taat kepada tuhan Allah dan Nabi Muhammad, malah mereka sanggup berjuang dan berjihad menegakkan agama kamu. Betul tak?"

Murid-muridnya mula memberikan perhatian dengan penuh minat. Masakan tidak, sebahagian mereka sama-sekali tidak menyangka si guru begitu lantang bercakap mengenai jihad, satu isu yang biasanya hanya lantang disuarakan tokoh-tokoh besar Islam sahaja.

"Siapa rasa di sini ada tanggungjawab untuk berjihad memperjuangkan agama kamu?" soal si guru. Beberapa muridnya mengangkat tangan sementara yang lainnya teragak-agak untuk bertindak demikian.

"Kamu perlu ingat, semangat sahaja belum cukup untuk memenangkan kamu terhadap musuh kamu. Kamu dengan semangat kamu tanpa apa-apa kekuatan persenjataan, sedang musuh kamu datang kepada kamu dengan teknologi persenjataan yang canggih. Kamu nak lawan mereka dengan hanya baling selipar dan batu dan mengharapkan sepenuhnya keajaiban berlaku?" ujar si guru yang sedikit sebanyak menyentap murid-muridnya.

"Hari ini, kamu memerlukan pengetahuan. Musuh datang kepada kamu dengan peluru berpandu, mereka datang kepada kamu dengan infantri canggih, kereta kebal yang gah. Semua itu dibina menggunakan ilmu pengetahuan. Kamu perlu bina peluru berpandu yang lebih baik dari mereka untuk menandingi kehebatan mereka. Nak buat peluru berpandu macammana kalau tak belajar kimia, nak lancar peluru berpandu macammana kalau projectile motion tak belajar, dalam kelas fizik kamu tidur." ujarnya sambil tersenyum. Muridnya yang semangat bukan main mulanya tadi kini mula menundukkan kepala tanda kalah hujjah.

"Nabi kamu sendiri pernah berpesan supaya mengutamakan belajar dan menuntut ilmu supaya kamu semua tidak ketinggalan. Nah sekarang, kamu perlu belajar fizik sampai lebih hebat dari musuh kamu, dan jadilah pejuang agama kamu yang berpengetahuan," nasihatnya penuh menusuk kalbu.

Bebelan si guru itu akhirnya mengakhiri kelasnya pada hari itu. Tidak banyak perbincangan mengenai subjek fizik pada hari itu, sebaliknya beliau telah membuka mata murid-muridnya tentang peri pentingnya ilmu yang pada awalnya dilabel sebagai ilmu sekular oleh sebahagian muridnya. Sejak itu, kelas fiziknya menjadi sangat interaktif dan sebahagian besar pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang.

Kini, murid-muridnya pula tidak putus-putus berdoa agar si guru yang hebat itu diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam sebelum tiba ajalnya. Semoga Allah bukakan pintu hatinya, ameen~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan