Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik mahupun kakitangan lainnya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak bersedia bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri menerusi pelbagai cubaan untuk memalukan kakitangannya.
Dalam hubungan ini, Abdul Khalid mengingatkan bahawa pekeliling kerajaan negeri bertarikh 28 Julai 2009 menyatakan jika sekiranya SPRM berhasrat melakukan siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri, maka ia boleh diadakan dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang, dan dengan kehadiran peguam dilantik oleh kerajaan negeri.
Tegasnya, bantahan tentang kesahihan kandungan pekeliling tersebut oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, masih dalam kes mahkamah.
“Maka dalam hal ini pegawai-pegawai SPRM sewajarnya menghormati pekeliling kerajaan negeri itu, yang melindungi hak seluruh kakitangannya,” katanya lagi.
Abdul Khalid berkata, sehingga saat ini beberapa siasatan SPRM terhadap segelintir pegawai kerajaan Selangor termasuk menteri besarnya “dilihat hanya berfokus pada isu-isu remeh”.
“Ini sebagaimana diperlihatkan pada serbuan kelmarin di pejabat YB Yaakob Sapari dengan penahanan reman terhadap pembantu eksekutif beliau, Haji Hussein Ahmad.
“Kerajaan negeri juga terkejut dengan perkembangan terakhir siasatan tersebut di mana SPRM telahpun menggeledah rumah Haji Hussein tanpa waran geledah yang sah.
“Kerajaan negeri mahu SPRM Selangor memberi penjelesan mengapa perkara boleh berlaku,” kata Abdul Khalid.
Tambahan pula, katanya, penyiasatan SPRM melibatkan sebuah syarikat yang tidak tersenarai dalam pemberian kontrak aktiviti pelombongan pasir.
“Tuduhan SPRM bahawa pemergian seorang pegawai ke China ditanggung oleh kontraktor tertentu, juga tidak benar kerana kerajaan negeri yang sebenarnya membiayai kos kunjungan dua hari Haji Hussein itu yang menelan belanja sebanyak RM3,295.
“Justeru itu, kerajaan negeri berhak meragui akan motif dan integriti siasatan pegawai SPRM terhadap isu-isu remeh yang berlaku dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.
“Sedangkan pegawai SPRM sewajarnya menggunakan masa dan tenaga yang sangat berharga untuk menyiasat penyalahgunaan wang rakyat yang bernilai ribuan juta ringgit termasuk RM1.7 juta oleh mantan menteri besar Selangor dan rombongannya semasa melancong ke Disneyland di Amerika Syarikat dan di Perancis.
“Jadi, apakah keutamaan SPRM? Badan ini sepatutnya menentukan keutamaan dan lantas menyiasat isu-isu besar yang melibatkan penyalahgunaan ribuan juta ringgit wang rakyat atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu yang sudah sekian lama berlaku dalam negeri atau negara Malaysia seluruhnya.
“Hal ini mesti diutamakan oleh SPRM agar tindakan SPRM dilihat tidak sebagai alat politik untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu di Putrajaya sahaja.
“Dalam hal ini, sekiranya SPRM bertindak secara profesional dan bebas, kerajaan negeri dengan senang hati bersedia memberikan bantuan yang sewajarnya, “ kata Abdul Khalid. -malaysiakini
Presiden Pesatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan (Selpora), Razak Ismail berkata, beliau dimaklumkan oleh anak Hussein yang pegawai SPRM datang mengeledah rumahnya sekitar jam 4.15 hingga 4.30 petang ini.
Namun pihak SPRM gagal mencari cenderahati yang dibeli Hussein di China yang dipercayai antara barang bukti siasatan.
Razak berkata, beliau juga dimaklumkan yang pegawai SPRM berkenaan juga tidak menunjukkan waran geledah.
Rumah Hussein terletak di Seksyen 27, Shah Alam.
Sementara itu, anak perempuan Hussein, - Faridah - memberitahu, tiga pegawai SPRM datang ke rumahnya di Seksyen 27, Shah Alam pada kira-kira jam 4 petang. Bagaimanapun, dia tidak ada di rumah ketika itu.
Kemudian, katanya, mereka pergi ke rumah isterinya (isteri Hussein) di TTDI Jaya, Shah Alam.
Pegawai berkenaan, katanya, tidak menunjukkan sebarang waran geledah walaupun diminta oleh keluarganya.
Pegawai SPRM itu mencari foto dari China. Tetapi, mereka tidak menemuinya. Mereka kemudiannya mengambil buku bank ibu dan adik bungsunya. Mereka berada di rumah itu selama kira-kira 45 minit.
Katanya, beliau tidak faham mengapa pegawai SPRM mengambil buku bank tersebut dan ia akan menyukarkan ibunya untuk mengeluarkan wang.
Ulasan GB
Rakyat mengutuk keras tindakan SPRM yang bertindak secara tidak professional dan Pengerusi SPRM perlu diheret ke mahkamah kerana membiarkan pegawai-pegawainya bertindak biadab apabila mereka gagal untuk menunjukkan waran yang sah semasa menggelidah rumah Haji Hussein.
Di dalam negara yang mendaulatkan undang-undang, sebarang penggelidahan walau oleh sesiapa sekalipun tanpa waran, maka ia aalah satu kesalahan di bawah Undang-undang pencerohohan (Common Law of Trespass).
Kita berharap rakyat Malaysia menyedari hal ini dan hak mereka dan tidak membiar sesiapa pun melakukan apa-apa pencerobohan terhadap tanah dan bangunan (land and building) mereka.
Dan Pengerusi SPRM perlu dipertanggungjawabkan di atas kebiadaban para pegawainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan