Sabtu, 16 Januari 2010

Kenapa Pro-Mahasiswa hanya berjaya di UIAM?-8 Oktober 2007


Salam..atas permintaan sahabat seperjuangan saya ubaid,saya cuba posting artikel berkaitan untuk renungan bersama para penyokong dan pendokong Pro-Mahasiswa UIAM..saya cuba kumpul semula artikel berkaitan untuk analisa bersama..


Fathi Aris Omar
Harakahdaily
Mon | Oct 08, 07 | 10:12:23 am MYT

Keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah selesai, dan keputusannya sudah dihebahkan. Faktanya: Kumpulan pro-Aspirasi menguasai kembali kampus-kampus kita.

Tetapi masih ada satu persoalan yang belum selesai: Sejak 2004, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) masih berjaya ditawan oleh kumpulan beraliran "pro-Mahasiswa", kem pelajar yang dilihat berbeza dengan pro-Aspirasi.

Apakah yang menjadikan UIA begitu unik sehingga ia berjaya menjadi kubu terakhir kumpulan pro-Mahasiswa?

Dato' Dr Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Oksidental (Ikon), berpendapat latar belakang penubuhan dan semangat UIA sendiri berlainan dengan IPTA lain.

Malah, katanya, pergaulan pelajar tempatan dengan luar negara di kampus itu menjadikan mereka lebih global. Mereka juga terdedah dengan jaringan badan-badan belia antarabangsa, tambahnya.

"Sifat UIA itu sendiri yang mengutamakan bahasa-bahasa Arab dan Inggeris menjadikan mereka lebih terbuka. Lagi pun universiti Islam menarik sekumpulan pelajar yang mempunyai perwatakan yang lebih kurang sama. Mereka ini berbeza," kata profesor sosiologi itu.

Pandangannya ini seolah-olah selari dengan tanggapan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom. "Saya lihat UIA seperti sebuah Akademi Pengajian Islam yang besar," katanya kepada mStar Online.

"Lihat akademi ini di Universiti Malaya. Calon-calon pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding. Mustahil kumpulan pro-Aspirasi boleh membuka laluan di fakulti ini."

Bagaimanapun berbeza sedikit dengan keyakinan Dr Azmi, profesor sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini tidak begitu yakin pro-Mahasiswa boleh menguasai UIA selama-lamanya.

Sementara seorang bekas aktivis siswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin cuba menanggap UIA lebih jauh.

Beliau berhujah, jaringan gerakan Islam di kampus itu lebih kuat berbanding di kampus-kampus IPTA lain yang hanya bergantung pada aktivisme dan kepemimpinan barisan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) atau fakulti tertentu.

"Mungkin juga ahli-ahli akademik di UIA lebih kritikal, mereka lebih simpati pada kumpulan pro-Mahasiswa," katanya, kini sebagai naib ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Selain pengaruh ahli akademik, pegawai pentadbiran kampus termasuk pengetua kolej sekarang dilihat semakin menonjol dalam percaturan politik kampus.

Beberapa laporan yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa campur tangan serius dalam mempengaruhi pelajar untuk menyokong kumpulan calon tertentu.

Namun menurut seorang pengamat Suhaimi Embong, sikap memihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) bukanlah baru, malah pernah wujud sejak beberapa dekad lalu lagi "tetapi beberapa tahun kebelakangan ini lebih ketara."

"Kadang-kadang saya nampak pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) macam tidak ada kerja lain. Mereka lebih ghairah menyusun aktiviti untuk mahasiswa," katanya, yang pernah menghasilkan buku Di Sebalik Tabir Politik Kampus dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana pengurusan perniagaan.

Semua pengamat bersetuju trend pro-Aspirasi yang muncul mulai 2003 dicetuskan sebagai gelombang baru selepas krisis politik 1998, apabila gerakan-gerakan mahasiswa di IPTA semakin berani dan lantang mengkritik kerajaan, termasuk menyusun demonstrasi.

Mereka bagaimanapun tidak bersetuju peralihan angin politik ke arah pro-Aspirasi bermakna mahasiswa di IPTA kini menyokong kerajaan.

"Mereka bukanlah menyokong sangat. Mereka juga menuntut hak, khususnya hak mendapatkan kemudahan. Jika sokongan ini tidak berbalas, mereka akan marah dan mengugut. Ini satu cara mengugut melalui sokongan," kata Dr Shamsul Amri.

"Kita lihat wakil-wakil rakyat Barisan Nasional, bagaimana hebat pun mereka, tetap terima rungutan."

Khairul Anuar, seorang pemimpin pelajar IPTA yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, boleh bersetuju dengan hujah ini.

"Tidak semestinya pelajar sokong kerajaan apabila mereka mengundi calon Aspirasi," katanya. "Lagi pun pelajar di IPTA sekarang tidak mempedulikan hal-hal politik. Kemunculan kumpulan pro-Aspirasi sekadar perubahan atas kertas. Tidak ada impak perubahan pada sikap atau cara berfikir. Semuanya masih di takuk lama."

Tambahnya, masyarakat kampus sendiri tidak ghairah dengan kehadiran pilihan raya kampus.

"Hanya media berminat membesar-besarkan berita ini, khususnya kemenangan pro-Aspirasi, sekadar untuk membentuk tanggapan umum masyarakat. Di kampus sendiri, tidak ramai yang keluar mengundi. Banyak calon menang tanpa bertanding. Saat-saat berkempen tidak meriah," dakwanya lagi.

Bersetuju dengan analisis ini, Suhaimi pula berpendapat campur tangan pihak luar dalam politik pelajar melemahkan kepemimpinan mereka. "Semuanya diurus oleh orang lain. Macam pelajar-pelajar sekolah," katanya.

Dr Azmi membuat tanggapan yang sama. "Bagi saya mahasiswa bak budak sekolah. Jadi, pemilihan MPP ini macam persaingan melantik pengawas sekolah. Umumnya mahasiswa tidak berminat politik," katanya.

Sifat keanak-anakan pelajar IPTA bukan gejala baru, katanya, malah ia sudah wujud sejak 1980-an. - mstar.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan