Selasa, 15 September 2009

Mirzan dilantik ahli lembaga pengarah pengeluar arak terbesar Filipina!



KUALA LUMPUR, 13 Sept: Ketika kerajaan negeri Selangor melalui Exco agamanya berusaha keras untuk menghalang umat Islam di negeri itu dari terjebak dengan ketagihan arak, anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah dalam syarikat pengeluar arak terbesar Filipina.

"Ini adalah urusan perniagaan sahaja," kata Mirzan sebagaimana suratnya kepada laman web The Malaysian Insider selepas berita mengenai perlantikan beliau dalam San Miguel Corp (SMC) disiarkan oleh laman web itu. 

Menurut Mirzan, beliau sedang berusaha agar penglibatan SMC dengan arak hanya akan tinggal 15 peratus sahaja tahun depan. 

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran beer Filipina. Syarikat ini telah mengeluarkan San Miguel Beer sejak lebih 100 tahun lalu. Beer ini dibuat di Filipina, China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia. Ia dijual di 60 negara di seluruh dunia, lapor laman webnya. 

Menurut Mirzan dalam suratnya itu, syarikat itu sedang berubah haluan ke infrastruktor, kemudahan awam dan tenaga yang diperlukan oleh negara Filipina. 

Dengan apa yang dilakukan oleh Mirzan, ia lebih besar kesannya berbanding ketagihan arak secara individu kerana Mirzan akan menyumbangkan tenaga, wang dan fikirannya untuk memajukan perniagaan arak ini. 

Namun Mirzan, anak sulong Dr Mahathir ini dalam suratnya menolak perkara itu. 

"Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu membantu San Miguel membina pendekatan baru dan harapan saya apabila ianya berjaya akan memberikan kesan baik kepada negara dan rakyat," kata Mirzan. 

Berlawanan dengan Mirzan, kerajaan negeri Selangor sedang berusaha mengawal jualan arak ini agar ia tidak diminum oleh orang Islam. 

Satu peraturan baru sedang dirangka untuk mengawalnya kerana beer tidak memerlukan sebarang lesen untuk dijual. Yang dikawal oleh undang-undang yang ada hanya liqour sahaja. 

Usaha ini dibuat ekoran bantahan umat Islam negara ini apabila kedai 24 jam menjual beer secara bebas kepada rakyat negara ini termasuk kepada umat Islam. 

Ia menjadi parah apabila golongan remaja mengambil kesempatan membeli arak ini selepas waktu tengah malam untuk mengelak dari dilihat oleh orang ramai. 

Mereka kemudiannya menghabiskan masa tengah malam dengan meminum arak dan kemudiannya tidak segan untuk terlibat dengan aktiviti kurang sihat termasuk merempit dan pecah rumah dan seterusnya terjebak dengan pelbagai jenis kelakuan tidak bermoral lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan