Kerajaan Selangor memutuskan untuk memembekukan rancangan memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ekoran bantahan keras penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu hendak dipindahkan - dalam sesi dialog pagi tadi.
Bercakap kepada pemberita di kediaman rasminya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid berkata rancangan pemindahan kuil yang mencetuskan kontroversi itu, dibekukan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga turut hadir.
Ditanya bila satu penyelesaian dijangka dicapai, Khalid berkata "secepat mungkin, tetapi proses sewajarnya perlu diikuti, termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit."
"Selepas kita bertemu PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), maka kita akan kemukakan cadangan mengenai pemindahan kuil tersebut," katanya.
Ditanya sama ada pemindahan kuil itu ke Seksyen 23 dibatalkan, Khalid mengulangi bahawa "ia dibekukan".
Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.
"Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya)," katanya.
Menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden itu, Khalid Ibrahim berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan mood penduduk setempat ketika ini.
"Kita hargai hujah yang baik dan positif, walaupun ia bersulamkan emosi," katanya yang tidak mahu menyalahkan pendudik Melayu yang membantah keras cadangan tersebut.
Sementara itu, Khalid Samad pula menyifatkan insiden pagi tadi berpunca daripada salah faham semata-mata ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat.
Sedangkan, katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan.
Ditanya kewajaran kerajaan negeri membenarkan petugas Unit Amal PAS memasuki dewan di MBSA, tempat dialog itu diadakan - yang menimbulkan kemarahan penduduk - menteri besar berkata, ia bertujuan membantu pasukan penguatkuasa mengawal keadaan.
Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah selesai.
Petikan dari www.harakahdaily.net
Majlis dialog anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Banquet, MBSA tengah hari tadi akhirnya menemui persefahaman sementara, apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan cadangan pemindahan kuil ke Seksyen 23, di sini ditangguhkan serta merta.
Khalid terpaksa berbuat demikian tengahari tadi, disebabkan desakan ekstrem serta perang mulut oleh segelintir hadirin yang menyertai dialog tersebut.
"Saya terpaksa menangguhkan cadangan itu (memindahkan kuil) disebabkan kebanyakan pemilik-pemilik rumah di situ tidak bersetuju.
"Saya menerima pandangan rakyat di Seksyen 23 dan kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian di Seksyen 19 (lokasi asal kuil) yang juga terdiri oleh penduduk Melayu (dan) Islam majoriti."
Tegasnya, PKNS diarahkan mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dijadikan tapak kuil yang baru, bagi memindahkan kuil lama dari Seksyen 19 kelak.
Jelasnya lagi, PKNS sewaktu Umno BN memerintah seharusnya menjelaskan kepada bakal penduduk (khususnya Melayu/Islam) Seksyen 19 tentang wujudnya kuil itu terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan.
Pembinaan kuil di Seksyen 19 oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu disifatkannya tidak sesuai, kerana terlalu dekat dengan surau di samping terlalu dekat dengan rumah penduduk di situ.
Ekoran itu, kerajaan Pakatan Rakyat cuba memindahkannya ke Seksyen 23, yang kedudukkannya lebih jauh dari kawasan surau serta perumahan penduduk Melayu.
Tambahnya lagi, pembinaan kuil itu juga untuk memenuhi hak penduduk minoriti beragama Hindu, di sini.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut mewakili kerajaan menegaskan bahawa isu kuil di Seksyen 23 hanya suatu cadangan daipada PKNS sendiri, bukannya kerajaan negeri.
Beliau yang terus dipertikai ketika menjelaskan prosedur cadangan pemindahan kuil itu, menegaskan bahawa cadangan tapak pembinaan kuil yang baru itu jauh lebih sesuai kerana bukan sahaja jauh dari kawasan perumahan setempat, malah menyelesaikan masalah rakyat di Seksyen 19 yang terdiri dari penganut Islam dan Hindu.
Katanya lagi, "sekiranya kuil tidak boleh dibina di kawasan majoriti Melayu, bermakna tidak ada mana-mana tapak boleh dibina kuil di Shah Alam, semuanya (penduduk) majoriti Melayu. Islam tidak mengajar penganutnya menafikan hak penganut lain."
Beliau juga menasihatkan segelintir individu yang hadir agar berhenti mencemuh inisiatif kerajaan negeri serta penduduk bukan Islam.
"Kuil ini untuk penganut Hindu. Apa salahnya, kita menghormati keagamaan mereka. Allah (dan) Rasul tidak pernah mengajar umat Islam mencemuh (agama lain), apatah lagi menafikan hak penganut agama lain (dalam) mengamalkan kepercayaan mereka," katanya di majlis itu.
Beliau meminta hadirin menghayati potongan ayat al-Quran (108) dari Surah an-An'am yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudia, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan."
Sebelum pada itu, perang mulut berlaku antara segelintir yang hadir dengan pegawai-pegawai MBSA yang cuba menenangkan mereka.
Kelihatan segelintir itu mencemuh pemimpin kerajaan negeri; yang didakwa mereka tidak mendengar keluh-kesah penduduk tempatan.
Jamil Mohd Isa, yang juga mengakui bukan ahli Umno di sini, menegaskan bahawa cadangan memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, sebagai menambahkan masalah penduduk tempatan, bukannya menyelesaikan masalah orang-orang Melayu.
Turut menyertai aksi ekstrem itu, adalah Pengerusi Penaja Umno Cawangan Seksyen 23 sendiri, Haji Azmir Md Zain.
Pengerusi Penaja UMNO Cawangan Seksyen 23-Haji Azmir Md Zain
"Woi, kaulah pengkhianat-pengkhianat agama lah!" cemuhnya.
Cemuhan itu disorak oleh beberapa individu lain yang dipercayaai dari kenalan rapat Azmir.
Beliau juga mengancam akan membunuh Khalid Samad jika pergi ke kawasannya, Seksyen 23.
Beliau juga menghina dan mencemuh Khalid Ibrahim, MB yang dipilih oleh rakyat Selangor melalui pilihan raya yang sah itu.
K. Raja yang ditemui selepas selesai dialog berkata, "Persatuan Penduduk itu bukan mewakili semua pihak. Persatuan tidak pernah panggil kita (penganut Hindu) berbincang. Bagaimana (mereka) boleh kata itu mewakili (penduduk) Seksyen 23."
Ditanya mengapa tidak turut serta dalam dialog itu, beliau berkata, "Dia orang emosional, tidak ada toleransi dan hormat Menteri Besar, Khalid (Samad) dan YB yang lain. Macam mana kita nak berdislog? Ekstrem lah, saya pun tidak pernah jumpa (tindakan) seperti ini."
Ujarnya lagi, dalam dialog, sepatutnya perlu ada sikap memberi pandangan, dan mendengar pandangan. Bukannya, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kerajaan negeri.
Beliau juga mencadangkan kuil di Seksyen 19 yang sudah 26 tahun tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, diselesaikan oleh Khalid Ibrahim demi membuktikan kepemimpinan Pakatan rakyat mengamalkan keadilan untuk rakyat tanpa mengira status, kaum dan kepercayaan.
Pegawai Khas kepada Adun Batu 3, Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli mendakwa dirinya cuba dikasari dan dicabuli oleh segelintir yang hadir di luar MBSA, sebelum dialog tersebut berlangsung.
"Mereka cuba merampas video cam akak. Mereka kerumuni (mengepong) akak. Mereka takut akak rakam tindakan-tindakan tidak bertamadun mereka. Akak jadi takut, takut diapa-apakan mereka itu," jelasnya lagi.
Seorang respondan berita Harakahdaily 30 Ogos lalu, Suraya Samad (gambar) yang ditemui kemudian melahirkan rasa takut kerana dirinya didakwa talam dua muka.
Beliau menegaskan sekali lagi, kenyataannya sebelum ini bukanlah bertujuan memecah-belah masyarakat, tetapi pandangan peribadinya sahaja.
Beliau mendakwa beberapa kenyataan sebelum ini telah disalah anggap dan membuat beberapa penafian terbabit.
Turut menyertai dailog tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmood selaku pemerhati. Beliau menjelaskan keindahan ajaran Islam yang sebenar, bukannya seperti aksi provokasi sedemikian sebelum ini.
Ahli Parlimen Kota Raja-YB Dr Siti Mariah
Beliau juga berharap penganut minoriti Hindu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dibina kuil.
Bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Khalid Ibrahim meminta semua pihak tidak memanjangkan isu tersebut.
Demi kepentingan rakyat tidak kira penganut agama Islam atau Hindu dan sebagainya, beliau menjelaskan bahawa segala kritikan dan cemuhan pagi tadi perlu dilihat secara terbuka; sebenarnya membantu kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat kelak.
Harakahdaily turut menemui beberapa peserta yang lantang mencemuh kepemimpinan negeri untuk mendapatkan inti bantahan mereka, tetapi kebanyakannya meminta wartawan bertemu sendiri dengan ketua mereka, Azmir.
Dalam kalangan mereka yang ekstrem juga mengugut wartawan supaya tidak membesar-besarkan isu perarakan kepala lembu yang segar berdarah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK yang menempatkan Pejabat Menteri Besar; 28 Ogos lalu.
Bersandarkan beberapa klip youtube sebelum ini, didapati beberapa pemimpin Umno mendalangi aksi ekstrem tersebut.
Bagaimanapun, hadirin yang menyertai dialog hari ini kebanyakannya mendakwa mereka bukan ahli Umno, tetapi penduduk tempatan Seksyen 23.
Dari insiden kepala lembu berdarah sehinggalah perang mulut yang berlaku hari ini merupakan suatu lagi cabaran rakyat Melaysia yang terdiri oleh pelbagai bangsa, agama dan taraf sosial; selepas negara mengecapi kemerdekaan kali ke-52 tahun.
Petikan dari www.malaysiakini.com/bm
Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen kecoh pagi ini - bermula dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Mereka bertindak demikian apabila anggota penguatkuasa berkenaan tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan berkenaan masuk ke dalam dewan bankuet, MBSA, tempat majlis dialog itu diadakan.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi. Difahamkan sebuah rumah hanya dibenarkan menghantar seorang wakil sahaja, tetapi warga emas itu dipercayai mengikuti anaknya ke situ.
Bagaimanapun, selepas lima minit berlaku pertengkaran tersebut, dua warga emas itu dibenarkan masuk.
Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalu keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.
Kira-kira 250 penduduk dari Seksyen 23 menghadiri majlis dialog berhubung isu bantahan penduduk terhadap keputusan untuk memindahkan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke tempat mereka.
Ketika itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail sedang masuk ke dewan.
Sejurus selepas itu, beberapa penduduk bertindak menghalau keluar seorang wanita yang membawa kamera dan mengambil gambar mereka yang hadir di dalam dewan tersebut.
Selepas itu, apabila pengerusi majlis menyebut nama menteri besar dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad disebut, ada penduduk yang mengeboo mereka.
Majlis bermula dengan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazlan Md Noor memberi taklimat mengenai kuil di Shah Alam dan rancangan awal mengenai pemindahan kuil dari Seksyen 19 itu.
Bagaimanapun, taklimat sering diganggu oleh penduduk yang tidak puas hati dengan isu tersebut.
Perbincangan hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti "tipu", "kamu mahu keputusan" dan "ya atau tidak?".
Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.
Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat
keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.
Apabila majlis dibuka kepada soalan, kelihatan rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.
Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.
Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam menimbulkan kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.
"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.
Terdapat beberapa orang penduduk menghampiri beliau dengan keadaan marah, tetapi kira-kira 30 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam berjaya mengawal keadaan.
Ucapan akhir Khalid Ibrahim bagaimanapun sedikit sebanyak menenteramkan keadaan, walaupun masih ada yang tidak berpuas hati.
"Minta semua bertenang. Selepas ini tidak ada perbincangan lagi. Tidak ada lagi soal berbangkit pasal Seksyen 23 lagi," katanya sambil mendakwa faham perasaan penduduk, walaupun disuarakan dengan cara yang "tidak tertib sangat".
Komen Penulis:Saya tak faham kenapa selama ini takde orang "Melayu" pi bakaq je semua kuil Hindu yang wujud di Malaysia?Kenapa Najib 1 Malaysia tak runtuhkan kuil Batu Caves tu?Lupa pulak sebab patung Najib pernah didewakan di situ,Najib bukan orang "Melayu",orang Shah Alam Seksyen 23 je yang paling "Melayu" kat Malaysia ni.Tahniah!Orang Shah Alam Seksyen 23 dah berjaya tonjolkan imej "Islam yang sebenar"!Tahniah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan