Sabtu, 16 Januari 2010

JAIS perlu beri penjelasan,bukan ugutan!

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu mengemukakan penjelasan bagi membolehkan masyarakat faham mengenai larangan kepada bukan Islam menggunakan kalimah Allah, kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

"Saya harap penjelasan atas isu ini dibuat secara ilmiah dengan segala dalil dan hujah yang jelas dan terang.

"Itu kaedah yang lebih bersesuaian dengan tuntutan Islam," katanya ketika diminta mengulas amaran keras yang dikeluarkan kenyataan pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi semalam.

Utusan Malaysia
hari ini melaporkan Mohamed Khusrin memberi amaran keras kepada Khalid supaya berhenti mempertikaikan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan isu penggunaan kalimah Allah.

Beliau mengulas kenyataan Khalid sebelum itu yang menggesa Jais dan Mais menubuhkan parti politik kerana menyertai satu protes yang diadakan pada 8 Januari lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Mohamed Khusrin juga dilaporkan mengancam untuk mengambil tindakan mengikut bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 ke atas golongan yang melanggar keputusan Mais atau mufti berhubung isu tersebut.

Mengulas perkembagan itu, Khalid berkata, kaedah ugutan dan paksaan seperti yang dibuat oleh Mohamed Khusrin itu, tidak lagi berkesan dalam menyampaikan pandangan kepada umum.

"Itu bukan cara yang boleh jelaskan isu tapi hanya cara yang ingin memaksa sesuatu pandangan ataupun tindakan ke atas pihak yang lain dan kaedah ini tidak lagi sesuai.

"Ia mungkin kaedah yang sesuai pada zaman kerajaan BN dulu, di mana sememangnya tak ada hujah atau dalil dan jawapan mereka seperti biasa adalah amaran yang keras," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, Jais dan Mais perlu berpijak di atas bumi nyata dan sedar perubahan yang berlaku ke atas masyarakat pada masa kini.

"Kita tidak lagi tertarik dengan kaedah amaran dan ugutan tapi ingin kaedah penjelasan dan penerangan," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah penerangan itu digunakan oleh pemimpin PAS yang mampu mengemukakan pandangan berbeza, berdasarkan hujah yang lengkap dengan dalil.

"Walaupun saya dan beberapa tokoh agama termasuk (mursyidul am PAS) Nik Aziz dan (presiden parti) Hadi Awang telah kemukakan pandangan yang berbeza, tapi hujah kami lengkap dengan dalil.

"(Jadi) harap Jais jawab dengan kemukakan hujah-hujah yang sebaiknya, bukan berikan amaran itu dan ini," katanya lagi.

Khamis, 14 Januari 2010

Tazkirah Guru Fizik ku....



"Selamat sejahtera semua," kedengaran satu suara mengucap salam dengan pelat Cina dalam sebuah makmal fizik.

"Selamat sejahtera cikgu," sahut muridnya.

"Baik, hari ini kita sepatutnya mula belajar. Tapi, kamu semua telah lewat tiba. Ada apa masalah ke dalam perjalanan ke makmal tadi?" aju guru Cina tersebut dengan penuh mengambil-berat, sungguhpun di hadapannya itu adalah murid-murid yang bukan dari bangsa dan agamanya.

"Jauhlah nak datang ke makmal ni cikgu, kelas pun habis lewat tadi," jawab salah seorang muridnya.

Tersenyum sahaja si guru mendengar alasan muridnya. Kelas pun bermula. Sebagai seorang yang berststus guru pakar yang mengajar di sekolah berstatus SPB elit, banyak sekali perkara ingin si guru kongsikan dengan muridnya. Pelbagai ragam kelihatan, ada yang mendengar dengan penuh minat. Ada yang menongkat dagu seolah tertekan untuk menangkap mesej pengajaran yang disampaikan dek kerana masalah pelat Cina si guru.

"Kamu di belakang sana, tolong kejutkan rakan di sebelah kamu tu," tegur si guru.

"Baiklah, kita rehat sebentar. Saya nampak ramai yang kelihatan letih dan mengantuk. Siapa nak
refresh, kamu boleh ke luar atau ke tandas untuk seketika, datang balik selepas 5 minit" ujar si guru.

5 minit berlalu, murid-muridnya kembali ke tempat duduk masing-masing. Si guru mula bertanya sesuatu.

"Malam tadi tidur lambat la cikgu, saya bangun tahajud," ujar seorang murid dengan nada bergurau sambil disambut hilai tawa teman-temannya. Mungkin itu satu gurauan yang agak kasar terhadap seorang guru yang bukan beragama Islam, tapi si guru hanya tersenyum.

"Kamu mahu menjadi Muslim yang baik? Kamu tahu tak erti jihad dalam Islam?" terpacul soalan bonus dari mulut si guru dengan satu simpulan senyuman yang manis. Persoalan itu seakan membunuh hilai tawa muridnya.

"Saya tahu, bangun tahajud adalah satu ibadat untuk menjadikan kamu Muslim yang baik. Muslim yang baik adalah Muslim yang bukan sahaja taat kepada tuhan Allah dan Nabi Muhammad, malah mereka sanggup berjuang dan berjihad menegakkan agama kamu. Betul tak?"

Murid-muridnya mula memberikan perhatian dengan penuh minat. Masakan tidak, sebahagian mereka sama-sekali tidak menyangka si guru begitu lantang bercakap mengenai jihad, satu isu yang biasanya hanya lantang disuarakan tokoh-tokoh besar Islam sahaja.

"Siapa rasa di sini ada tanggungjawab untuk berjihad memperjuangkan agama kamu?" soal si guru. Beberapa muridnya mengangkat tangan sementara yang lainnya teragak-agak untuk bertindak demikian.

"Kamu perlu ingat, semangat sahaja belum cukup untuk memenangkan kamu terhadap musuh kamu. Kamu dengan semangat kamu tanpa apa-apa kekuatan persenjataan, sedang musuh kamu datang kepada kamu dengan teknologi persenjataan yang canggih. Kamu nak lawan mereka dengan hanya baling selipar dan batu dan mengharapkan sepenuhnya keajaiban berlaku?" ujar si guru yang sedikit sebanyak menyentap murid-muridnya.

"Hari ini, kamu memerlukan pengetahuan. Musuh datang kepada kamu dengan peluru berpandu, mereka datang kepada kamu dengan infantri canggih, kereta kebal yang gah. Semua itu dibina menggunakan ilmu pengetahuan. Kamu perlu bina peluru berpandu yang lebih baik dari mereka untuk menandingi kehebatan mereka. Nak buat peluru berpandu macammana kalau tak belajar kimia, nak lancar peluru berpandu macammana kalau projectile motion tak belajar, dalam kelas fizik kamu tidur." ujarnya sambil tersenyum. Muridnya yang semangat bukan main mulanya tadi kini mula menundukkan kepala tanda kalah hujjah.

"Nabi kamu sendiri pernah berpesan supaya mengutamakan belajar dan menuntut ilmu supaya kamu semua tidak ketinggalan. Nah sekarang, kamu perlu belajar fizik sampai lebih hebat dari musuh kamu, dan jadilah pejuang agama kamu yang berpengetahuan," nasihatnya penuh menusuk kalbu.

Bebelan si guru itu akhirnya mengakhiri kelasnya pada hari itu. Tidak banyak perbincangan mengenai subjek fizik pada hari itu, sebaliknya beliau telah membuka mata murid-muridnya tentang peri pentingnya ilmu yang pada awalnya dilabel sebagai ilmu sekular oleh sebahagian muridnya. Sejak itu, kelas fiziknya menjadi sangat interaktif dan sebahagian besar pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang.

Kini, murid-muridnya pula tidak putus-putus berdoa agar si guru yang hebat itu diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam sebelum tiba ajalnya. Semoga Allah bukakan pintu hatinya, ameen~

Selasa, 12 Januari 2010

Eye On Malaysia@Melaka membazir?


Eye On Malaysia yang menjadi tarikan pelancong sejak setahun lalu telah disita semalam. Tindakan ini menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian dan duit rakyat lebur begitu sahaja.

"Diberitakan pula syarikat Belgium, Fitraco NV nak ambik balik buaiannya kerana ada pihak pengurusan yang terdiri daripada MSt Ad & Kumpulan Melaka Berhad tak bayar RM 17 juta. Sebelum ini, indah sungguh perkhabaran, kos 24 juta ditanggung swasta, tidak melibatkan wang rakyat. Seolah-olah ada syarikat swasta yang ada duit lebih. Nak tolong tanggung kos buaian itu," jelas Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab.

Bagi Sofi, Kerajaan Negeri lemah dan lembap dalam membuat perancangan semula bagi memulakan sesuatu program dan dan projek.

"Di saat Melaka dikatakan Maju 2010, Eye On Malaysia pula kena sita, siapa yang malu dan siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini. Sejak dari awal lagi saya sudah menjangkakan ini adalah projek membazir. Duit rakyat hangus begitu sahaja," jelas Sofi lagi.

Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka yang menjadi antara tarikan utama pelancongan sejak lebih setahun lalu, disita jam 9.30 pagi semalam, sekali gus terpaksa memberhentikan operasinya.

Tindakan menyita kawasan berkenaan dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu, membenarkan permohonan pemilik asal roda gergasi berkenaan dari Belgium, Fitraco NV untuk mengambilnya balik dari Eye On Malaysia Sdn Bhd (Eom), pemilik roda itu di sini.

Arahan bagi memaklumkan mengenai tindakan menyita tempat itu disampaikan oleh seorang peguam yang mewakili Fitraco NV kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eom, Mahadzir Yunus di tapak roda gergasi terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Isu Kalimah "Allah"-Suatu Analisa

Setiap orang tahu 'Allah' bukan perkataan Melayu, akan tetapi tiada siapapun akan mempersoalkan seorang Melayu menggunakan kalimah itu bagi merujuk kepada Tuhan yang disembahnya kerana orang-orang Melayu adalah muslim.

Dan semua muslim dari segala bangsa memanggil-Nya dengan nama itu kerana itulah nama yang Dia tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia diseru oleh hamba-hamba-Nya.

Kita sebenarnya bercakap tentang 'menamakan' Tuhan; kita tidak boleh memberikannya nama yang salah.

Manusia biasa sekalipun akan marah sekiranya nama mereka atau gelaran yang diberikan tidak disebut dengan betul, apatah lagi sekiranya ia salah sama sekali.

Akan tetapi kenapa pula perlu kita memberikan nama kepada-Nya? Bukankah sepatutnya, sekiranya Dia pernah mentanzilkan apa-apa, nama-Nya, itulah yang sepatutnya diketahui dengan jelas dan pasti?

Sekiranya ada sesuatu kitab yang layak dinamakan Kalam Allah, nama-Nya tidak sepatutnya tidak diketahui. Bagaimana mungkin Dia dikenali sekiranya nama-Nya pun tidak diketahui?

Kaum muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan.

Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun, (yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (muslim/muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar.

Justeru, mereka tidak boleh menerima gelaran 'Mohemmadans', dan agama Islam sebagai 'Mohemmadanism'.

Sebab-sebabnya ialah: pertama, Muhammad bukanlah sebagaimana Jesus Christ pada tanggapan penganut Kristian; muslim tidak menyembah Muhammad.

Kedua, Islam bukan suatu ideologi atau falsafah yang dicipta oleh Muhammad justeru boleh digelar Mohemmadanism.

Sebab ketiga ialah muslimin sudah kenal siapa diri mereka sejak dari awal lagi.

Mereka tidak memanggil diri mereka muslimin kerana itulah nama yang diberikan oleh orang, tidak seperti penganut Kristian yang memperolehi nama itu dari musuh mereka yakni orang-orang Rom.

Pada pandangan seorang Muslim, amatlah tidak wajar bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya.

Lebih memalukan lagi sekiranya agama itu meminjam nama itu dari agama lain lebih-lebih lagi pula apabila agama itu dianggap sesat dan menyeleweng!

Apabila sesetengah pemuka agama Kristian menuntut 'hak' menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian dalam bahasa Melayu sudah pasti umat Islam akan membantah. Ini tidak sama sekali bermakna mereka mahu 'memonopoli' kalimah itu.

Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipermainkan sesuka hati. Kalimah yang tepat mesti digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan.

Secara praktikalnya orang Melayu tidak berupaya menghalang mana golongan Kristian yang mahu memanggil Tuhan mereka dengan sebarang nama termasuklah 'Allah' bahkan 'Mickey Mouse' sekalipun.

Walaubagaimanapun mereka terpaksa menentang kerana isunya kini adalah isu bahasa Melayu, dan kalimah Allah seperti yang difahami dalam bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan sembahan orang Kristian.

Kalimah 'Tuhan' sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah 'Allah' dilihat sebagi penzahiran permusuhan melalui serangan terhadap keutuhan bahasa Melayu itu sendiri.

Segolongan pemuka agama Kristian berhujah bahawa 'Allah' juga bermakna tuhan agama Kristian kerana, menurut mereka, kalimah itu telah digunakan lama dahulu dalam terjemahan Injil Melayu dan buku-buku sembahyang mereka.

Mereka juga berhujah bahawa kalimah 'Allah' telah lama digunakan oleh masyarakat Kristian-Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Andaikan mereka dapat buktikan kewujudan dokumen-dokumen di atas di mana kalimah Allah boleh ditemui digunakan. Kita boleh membalas bahawa, ia tidak sama sekali membuktikan bahawa 'Allah' dalam bahasa Melayu juga bererti tuhan Kristian.

Ia hanya menunjukkan bahawa percubaan pendakwah-pendakwah Kristian untuk memaksakan maksud mereka terhadap kalimah berkenaan sudah lama berlaku.

Sama ada dokumen itu baru atau lama bukanlan soalnya di sini.

Apa yang penting ialah bangsa Melayu tidak pernah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian sebaliknya sesetengah puak Kristianlah, dahulu dan sekarang, yang telah bertungkus-lumus berusaha membuat mereka menerima makna tersebut.

Kalaulah kalimah Allah itu sememangnya bererti tuhan seperti difahami orang Kristian, apakah gunanya lagi usaha mengkristiankan bangsa Melayu kerana mereka telahpun Kristian pada hakikatnya!

Kaum muslimin dan Kristian masing-masing mendakwa agama mereka berasaskan wahyu yang ditanzilkan oleh Tuhan.

Kitab pegangan kaum muslimin, al-Qur'an, yang ditanzilkan dalam bahasa Arab dengan jelas menyatakan bahawa Allah ialah nama Tuhan yang disembah oleh setiap muslim tidak kira bangsa atau tanahairnya.

Apa yang kita tahu ialah kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek ataupun Latin Kitab Perjanjian Baru dan Lama, dan tiada bukti yang boleh dipercayai tentang kewujudan terjemahan Injil dalam bahasa Arab sebelum Islam.

Terjemahan Arab yang pertama dan yang terpenting yang menjadi rujukan utama kaum Yahudi di negara-negara Islam telah dilakukan oleh Sa'adia ben Joseph (892-942). Beberapa terjemahan Arab moden oleh puak Katholik dan Protestan telah dibuat pada kurun-kurun ke-19 dan 20 Masihi.

Ada kemungkinan bahawa kalimah Allah digunakan bagi merujuk Tuhan Kristian dalam terjemahan-terjemahan ini. Namun persoalannya kenapa 'Allah', dan bukan istilah-istilah yang digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek dan Latin?

Apa yang nyata, kalimah 'Allah' hanya digunakan apabila Bible diterjemahkan kepada bahasa-bahasa kaum muslimin, antaranya bahasa Melayu di mana kalimah itu wujud dan digunakan hasil daripada pengislaman bahasa dan akal bangsa Melayu.

Kita tidak mungkin menjumpai kalimah Allah dalam Algonquin Bible yang diterjemahkan untuk orang India Amerika pada 1663, apatah lagi dalam versi-versi lain seperti Wycliffe, Tyndale, Douay, King James atau Confraternity.

Tiada sebab untuk mereka menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan berkenaan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian kerana Allah tidak pernah menjadi tuhan orang India Amerika ataupun orang Inggeris, justeru kalimah itu tidak wujud dalam bahasa-bahasa mereka.

Amatlah menarik memikirkan kenapa sebahagian pemuka agama Kristian di negara ini begitu bersungguh-sungguh menuntut 'hak' menggunakan kalimah Allah dengan berhujah bahawa kalimah itu telah lama digunakan oleh Arab Kristian sebelum kedatangan Islam lagi.

Semenjak bila pula orang-orang Arab Kristian dan bahasa mereka menjadi rujukan penting bagi agama Kristian dan masyarakat Kristian secara amnya?

Bahasa Arab langsung tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Hebrew, Greek ataupun Latin dalam soal memahami agama Kristian dari sumber-sumber utamanya. Sebaliknya, tiada sesiapapun boleh memahami agama Islam tanpa memahami bahasa Arab.

Yang kita maksudkan dengan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab yang telah diislamkan, bahasa yang telah melalui perubahan menyeluruh dengan penurunan al-Qur'an.

Kepentingan bahasa Arab Qur'ani dalam soal pembentukan pemikiran dan pandangan hidup kaum muslimin tidak boleh dibandingkan langsung dengan kedudukan bahasa Arab ketimbang agama Kristian.

Apabila puak-puak Kristian di negara kita berhujah kepada kerajaan bahawa orang Arab Kristian sebelum Islam telah lama menggunakan kalimah Allah, mereka mengandaikan bangsa Melayu itu seumpama robot yang akan meniru segala apa yang datang dari Tanah Arab. Mereka silap.

Apabila bangsa Melayu menggunakan kalimah Allah dalam bahasa mereka, yang mereka maksudkan ialah Allah yang dinyatakan dalam al-Qur'an, bukan yang dimaksudkan oleh kaum Arab jahiliyyah mahupun kaum Kristian.

Bangsa Melayu tiada hubungan kebudayaan atau keagamaan dengan Arab jahiliyyah mahupun Arab Kristian sebelum ataupun selepas Islam. Hubungan mereka dengan bangsa Arab terbina atas satu asas yang dikongsi bersama yakni Islam dan al-Qur'an.

Segala kata kunci berserta dengan makna dan pengertiannya yang membentuk pandangan hidup bangsa Melayu diperolehi daripada al-Qur'an. Bahkan semua kata kunci ini dikongsi oleh bahasa-bahasa Islami yang lain, bukan sahaja bahasa Melayu.

Apa yang jelas adalah percubaan puak-puak Kristian tertentu menyahislamkan (deislamize) bahasa Melayu bagi memudahkan penyebaran dakyah mereka.

Sekiranya mereka merasa berhak untuk menyebarkan agama mereka kepada sesiapa sahaja (termasuk bangsa Melayu), tidakkah bangsa kita juga punya hak untuk menyanggah sebarang usaha merendah-rendahkan budaya dan agama kita?

Malangnya dari kalangan kitalah muncul pengkhianat budaya dan agama kita. Merekalah yang membenarkan 'bahasa Melayu' dipanggil 'bahasa Malaysia'.


Md Asham Ahmad seorang zamil Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Jumaat, 25 Disember 2009

Pelajar Cemerlang Dirasuah MB Terengganu!

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Khamis, 24 Disember 2009