Jumaat, 13 November 2009

Nafi Royalti bercanggah konsep 1 Malaysia!

KOTA BHARU, 12 Nov: Golongan cendikiawan di universiti menyifatkan tindakan kerajaan pusat mengenepikan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan bertentangan dengan semangat federalisme.

Malah kata mereka ia juga tidak mencerminkan semangat 1Malaysia yang dijelmakan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Najib Razak sekarang.

Pensyarah Sains Politik USM, Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid (Gambar) berkata, sepatutnya kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih cekap dalam usaha menawan hati rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan tentunya termasuk mereka yang bukan sahaja mengundi BN, tetapi juga mereka yang tidak mengundi BN.

“Di kalangan mereka tentu ramai pengundi atas pagar. Sedangkan Perdana Menteri juga menyebut beliau menjadi ketua kerajaan untuk semua,” katanya ketika dihubungi di sini.

Minggu lepas perdana menteri mengumumkan kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada Kelantan mulai tahun depan, hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Ekoran itu ramai membantah kerana mereka menyifatkan ia bertentangan sama sekali dengan perjanjian yang ditandatangani pada 1975 di antara kerajaan negeri dan Petronas.

Dr Ahmad Fauzi berkata, sifat menghukum kerajaan pusat amatlah merugikan prospek BN di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Hujah ini tidak perlu kepada mengkomplikasikan perbincangan dengan fakta undang-undang yang terlalu ilmiah berdasarkan akta itu dan ini.

“Cukup untuk dihujahkan tindakan Perdana Menteri seolah-olah tidak jauh berbeza dengan sentimen akar umbi Umno yang mendesak kerajaan pusat mengurangkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan