Ahad, 16 Ogos 2009

Pertahankan Kerusi PAS di Pulau Pinang!






15 Ogos 2009-Dewan Besar Sungai Dua telah menjadi saksi pertemuan antara pimpinan PAS dan penduduk setempat.Dalam majlis Jamuan Makan Malam Bersama Pimpinan PAS,penduduk dapat duduk semeja bersama para pimpinan PAS sambil menyuarakan isi hati mereka terhadap nasib umat Islam di Pulau Pinang.

Datuk Mustafa Ali,Setiausaha PAS Pusat

kemudian menegaskan dalam ucapannya bahawa rakyat Permatang Pasir mesti mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir kepada PAS demi memastikan suara umat Islam khususnya di Pulau Pinang akan terus terbela.Kerusi DUN Permatang Pasir bakal menjadi rebutan antara UMNO dan PAS dalam pilihanraya kecil yang berlangsung pada 25 Ogos 2009 berikutan kematian penyandangnya, Almarhum Datuk Hamdan yang mewakili PAS sejak 3 penggal yang lalu.

Dalam Forum Perdana yang diadakan selepas solat Isyak itu,

Ustaz Nasharuddin Md Isa,Timbalan Presiden PAS Pusat

memberitahu kepada para hadirin untuk memberikan undi majoriti yang lebih besar kepada PAS sebagai satu isyarat kepada UMNO/BN agar terus insaf dengan segala kepincangan dalam pentadbirannya selama 50 tahun negara diperintah.Isu rasuah yang tak pernah sunyi dengan BN perlu dihukum oleh rakyat melalui pilihanraya kecil Permatang Pasir.Isu sogokan RM10 juta kepada Ong Tee Keat perlu disiasat segera oleh SPRM memandangkan isu itu didedahkan sendiri oleh pemimpin BN.Ujarnya,PAS komited untuk terus membela nasib Islam di Pulau Pinang disamping menyuarakan pandangan untuk penambahbaikan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri,YAB Tuan Lim Guan Eng.

Sabtu, 15 Ogos 2009

PRK Permatang Pasir:Ustaz Salleh Man vs En Rohaizat Othman




14 Ogos 2009-Hari yang dinanti-nantikan telah tiba...Pengumuman calon telah dibuat oleh PAS & BN...Ustaz Salleh Man (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) mewakili PAS manakala En. Rohaizat Othman(Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh) akan mewakili BN dalam Pilihanraya Kecil N11 DUN Permatang Pasir...Tidak ketinggalan seorang calon bebas En Kamarul Ramizu yang menyatakan kesediaan untuk turut bertanding dalam pilihanraya yang akan berlangsung pada 25 Ogos 2009...malas nak ulas panjang,jom tengok gambar sekitar Majlis Pengumuman Calon PAS oleh Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang,Presiden PAS di Pusat Khidmat ADUN Permatang Pasir...Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Ustaz Salleh Man- Calon PAS DUN Permatang Pasir

Pengumuman oleh Tuan Guru Haji Hadi-Presiden PAS

Sidang Media selepas Majlis Pengumuman Calon PAS

Ucapan Ustaz Salleh Man selepas diumumkan sebagai Calon PAS

Para wartawan & wakil media

Ketibaan MB Kedah-Ustaz Azizan

Calon PAS-Ustaz Salleh Man diisytihar sebagai calon Pakatan Rakyat

Jumaat, 14 Ogos 2009

Isu Arak di Selangor selesai!


Gambar Hiasan je....

Hampir 200 ahli UMNO berhimpun di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu merampas minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini pada 29 Julai lalu.





Dalam perhimpunan yang bermula pukul 3 petang itu, kesemua mereka turut mengutuk tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan MBSA memulangkan semula 70 tin dan botol minuman keras kepada kedai serbaneka terbabit serta membenarkan penjualan minuman tersebut kepada penduduk di situ yang majoritinya adalah penganut Islam.
Kesemua penyokong Umno tersebut turut membawa beberapa sepanduk yang antaranya tertulis 'Ajar Ronnie dengan ISA'; 'Pakatan Rakyat Halalkan Arak' dan 'Pas Dulu Takbir, Sekarang Take Beer (ambil arak)'.

"Kami mengutuk tindakan Ronnie menghalang dan memaksa MBSA memulangkan semula arak berkenaan selain mengatakan bir bukan minuman keras adalah satu kenyataan yang dangkal, bodoh serta tidak bertanggungjawab," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Shah Alam, Azhari Shaari selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Nor.

Pun gambar hiasan je...

Tambah Azhari, kenyataan Ronnie itu juga satu bentuk penghinaan kepada umat Islam kerana arak tidak kira berapa kandungan alkoholnya adalah haram dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran serta difatwakan oleh Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Secara peribadi saya merasa simpati kepada saudara-saudara kita dalam Umno tersebut. Mengapa ? Saya yakin dan percaya mereka tidak tahu apa yang mereka buat . Mereka membantah hanya kerana ingin membantah dan kerana kepentingan politik yang sempit. Memandangkan isu ini melibatkan Pakatan Rakyat , Umno mengambil peluang menjaja isu ini tanpa memahami isu ini dengan betul. Inilah perangai Umno. Semasa isu babi dahulu mereka mainkan isu itu macam orang gila babi- berbuih -buih mulut mereka. Akhirnya dilaporkan ada pemimpin mereka yang terbabit dalam industri tersebut .

Jika ahli-ahli Umno tersebut membuka sedikit mata mereka nescaya mereka akan sedar sebenarnya Umnolah yang menjadi punca mengapa arak sehingga kini dibenarkan dijual di kedai-kedai serbaneka seperti 7 Eleven.

Untuk saudara-saudaraku dalam Umno perkara pertama yang kamu kena faham adalah penjualan arak atau minuman keras di kedai serbaneka adalah dibenarkan oleh Akta Eksais 1976 ( Akta 176 ). Penjualan itu juga dikawal oleh Peraturan-Peraturan Eksais ( Penjualan Liqour yang memabukkan ) 1976.Undang-undang tersebut digubal oleh Umno kerana ia terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno dan sekutu-sekutunya.

Ya , benar dari segi hukum Islam sesuatu mimuman adalah dikira haram meskipun kandungan alkoholnya adalah sedikit misalnya 1 peratus sahaja. Dalam keadaan hukum fiqah yang sudah terang dan jelas Umno masih boleh lagi menggubal undang-undang yang bercanggah dengan hukum fiqh yang jelas itu dengan menyatakan bahawa jika kandungan minuman yang dijual di kedai serbanika yang mengandungi kandungan kurang dari 8 peratus maka ianya “tidak haram” dan dibenarkan dijual di kedai serbanika tersebut.

Atas dasar itu Umno tidak sepatutnya menyalahkan Ronnie Liu kerana Ronnie hanya merujuk kepada undang-undang yang Umno gubal sendiri – undang-undaang yang membenarkan beer dijual di kedai-kedai serbanika. Mengapakah selama ini dan sehingga sekarang ini Umno tidak pernah membuat bantahan atau berdemonstrasi menentang undang-undang yang mereka gubal tersebut. Kalau betul Umno jijik dengan arak parti tersebut sepatutnya meminta Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno meminda undang-undang yang saya nyatakan tersebut supaya penjualan beer di kedai-kedai serbanika dapat dihentikan.

Perkara kedua yang sepatutnya Umno perlu buat jika mereka benar-benar jijik pada arak adalah mereka juga sepatutnya terlebih dahulu membuat bantahan atau demonstrasi di negeri-negeri yang Umno kuasai . Sehingga kini di negeri-negeri yang Umno kuasai seperti Johor misalnya masih membenarkan minuman beralkohol seperti beer dijual dikedai-kedai serbanika seperti 7 Eleven. Mengapa kita tidak dengar bantahan oleh Umno sehingga kini. Adakah arak hanya haram di Selangor dan tidak di Johor dan negeri-negeri yang Umno perintah. Nampaknya ada “pengharaman terpilih” di sini.

Perkara ketiga jika Umno benar-benar jijik pada arak atau dalam Islam dipanggil “ummu al-khabaith ( ibu segala perkara buruk ) mengapakah Umno tidak pernah membantah tindakan Kemeneterian Dalam Negeri ( KDN ) yang membenarkan akhbar-akhbar bahasa Inggeris menyiarkan iklan-iklan arak di akhbar-akhbar tersebut.

Untuk makluman Umno , Pemuda PAS pernah menghantar memorandum bantahan kepada pihak KDN tentang hal tersebut . Semasa kami berjumpa dengan Setiausaha sulit Menteri yang bertanggungjawab beliau menyatakan kepada kami “ mengapa perlu risau iklan arak kalau kita kuat iman”. Saya menjawab kepada beliau tanda orang kuat iman adalah beliau mengharamkan apa yang Allah dan RasulNya haramkan.” Lihatlah mentaliti pemimpin Umno.

Perkara Keempat mengapa sehingga kini Umno tidak bersuara tentang hidangan arak dalam kapalterbang milik MAS. Jika Umno benar-benar peka kepada pekerja-pekerja Islam di 7 Eleven mengapa mereka tidak peka kepada nasib para pramugara dan pramugari Islam yang terpaksa menghidang arak kepada para penumpang MAS ? Dan adakah Umno sedar pembayaran Duti Eksais arak dikecualikan kepada Syarikat Air Asia X Sdn Bhd melalui Perintah Duti Eksais ( Pengecualian ) ( Pindaan ) No 2 ( 2008 ) yang diwartakan dan berkuatkuasa 1 hb Julai 2008.

Akhirnya jika Umno benar-benar jijik kepada perkara haram seperti arak dan judi mengapa sehingga kini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan masih tidak segan silu “muntah kedarah” cukai hasil –hasil haram ini. Adakah Umno sedar di bawah Perbendaharaan sahaja ada lebih kurang 6 Akta yang berkaitan dengan perjudian iaitu Akta Pertaruhan 1953 ( Akta 495 ), Akta Betting & Sweepstake Duties Act 1948 ( Akta 201 ), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ( Akta 289 ), Akta Cukai Perjudian 1972 ( Akta 65 ), Akta Loteri 1952 ( Akta 288 ) dan Akta Pertaruhan Pool 1967 ( Akta 384 ).

Berita Selanjutnya...Terkini..

Kedai serbaneka 7eleven memberi kerjasama sepenuhnya dalam menyambut seruan kerajaan negeri Selangor untuk membuat kawalan kendiri penjualan arak.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, hasil daripada perbincangan yang dibuat, 7 eleven didapati tidak lagi menjual arak di beberapa kawasan majoriti Islam dan beberapa kawasan lain.

“Saya difahamkan bahawa hasil daripada perbincangan dengan pekedai 7eleven tidak lagi menjual bir. Ada sepuluh kawasan yang mana 7eleven tidak dijual arak iaitu sekyen 6, 19,11 13, 8, 7, 3, Jalan Kristal 7, Jalan Plumbum seksyen 7. Sepuluh kedai ini tidak lagi menjual miniman beralkohol,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Shah Alam, petang tadi.

Tan Sri Khalid berkata, ada beberapa kawasan yang mendapat permintaan dan 7eleven hanya mengeluarkan minuman tersebut atas permintaan sahaja iaitu di Sekyen 16, 17, 20, 9,13 Giant, 13 Calrton Hotel, dan Seksyen 18.

Katanya, kedai serbaneka lain seharusnya mencotohi 7eleven dalam melaksanakan kawalan kendiri dan pihak kerajaan negeri sendiri akan memantau dari semasa ke semasa.

“Kita sendiri akan pantau keadaan dari semasa ke semasa untuk tentukan bahawa pengusaha dan rakyat dapat bekerjasama, untuk menjalankan usaha supaya tiada penjualan ini mengakibatkan keadaan buruk dari segi sosial,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Besar mengarahkan supaya semua pasaraya dan kedai serbaneka di Shah Alam tidak menjual minuman keras untuk tempoh percubaan selama sebulan.


Tahniah Dr Hassan Ali

Dua notis dikeluarkan kepada pekerja beragama Islam kedai serbaneka 7eleven di Seksyen 25, Shah Alam yang menjaga kaunter kerana di percayai terlibat dalam penjualan minuman keras kepada pelangan.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali berkata, umat Islam yang didapati bersalah melakukan perkara ini boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995.

“Operasi ini khusus untuk orang Islam namanya enakmen jenayah syariah 1995, Pertama umat Islam tidak boleh menjual dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda RM5,000,minum denda RM3,000 atau 2 tahun penjara. Jika mereka membeli, mengedar, atau menawarkan akan dikenakan 5,000 atau 3 tahun penjara. JAIS adalah agensi bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan yang terkandung dalam undang-undang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat beberapa kedai dalam operasi kuat kuasa khas pemeriksaan penjualan arak, di Shah Alam, malam tadi.

Menurutnya, ini sebagai satu langkah penguatkuasaan pihak JAIS bagi memantau penjualan dan pembelian arak oleh umat Islam dilakukan secara terbuka.

Katanya, operasi hari ini adalah di bawah bidang kuasa beliau sebagai Exco Agama Negeri Selangor dan JAIS merupakan agensi yang menguatkuasakan undang-undang tersebut bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan.

“Dua perkara yang disebutkan oleh menteri besar tentang kawalan self regulation yang lebih kepada peraturan sedia ada dan yang takda hubungan dan kaitan dengan enakmen jenayah, yang banyak dilakukan oleh PBT dibawah YB Ronnie tapi saya sebagai Exco Agama bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan dalam Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

Katanya, jika kedua-dua peraturan ini dilaksanakan dengan betul ia akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak terutamanya umat Islam.


Rabu, 12 Ogos 2009

Ikon "1 Malaysia"@Kuil Batu Caves



Ikon "1 Malaysia
@
Kuil Batu Caves

11 Ogos 2009-Replika gergasi perdana menteri di perkarangan kompleks kuil Batu Caves telah dirobohkan semalam, tidak lama selepas ia menjadi isu di internet, khususnya di kalangan penyokong pembangkang.


Mereka menyifatkan imej besar itu bertentangan dengan sikap UMNO yang membantah keras replika Datuk Seri Anwar Ibrahim, di simpang utama kira-kira dua kilometer dari kuil tersebut, tahun lalu.

Blog rasmi ADUN Batu Caves, Amirudin Shari kelmarin menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin UMNO dan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar tetapi berdiam diri terhadap replika Najib.

Ahli jawatankuasa kuil itu N Sivakumar bagaimanapun menjelaskan bahawa replika Datuk Seri Najib Razak diturunkan selepas tamat festival tiga hari itu.

Kunjungan Malaysiakini pagi ini di kuil Sri Mariaman mendapati papan-papan lapis yang digunakan untuk mempotretkan imej Najib disusun tidak jauh dari kaki struktur besi penyangga replika tersebut.

Empat pekerja sedang merungkaikan struktur besi yang terletak kira-kira 20 meter dari pintu utama kawasan tarikan pelancong itu.

Sebelum ini, replika Najib berwajah tanpa senyuman yang sedang mengangkat tangan kanannya, sementara tangan kirinya di belakang, didirikan di hadapan pintu masuk kuil berkenaan.

Ia terletak kira-kira 50 meter dari patung Dewa Muruga berwarna emas yang menjadi mercu tanda destinasi tumpuan pelancong itu.

Imej berketinggian kira-kira 10 meter itu memaparkan imej Najib berkemeja oren – warna yang dikaitkan dengan pertubuhan Hindraf – dan berseluar hitam dalam keadaan seolah - olah sedang melangkah.

Sivakumar, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata bahawa pembinaan replika itu bagi meraikan kedatangan Najib di situ yang dijadikan tapak festival "Satu Malaysia" yang tamat kelmarin setelah 30 tahun kompleks kuil itu tidak dikunjungi oleh perdana menteri.

Ia juga dibina bagi menandakan sokongan terhadap gagasan Najib itu, tambahnya.

"Ia sebahagian daripada sambutan terhadap perdana menteri. Kita juga mahu menunjukkan sokongan terhadap konsep Satu Malaysia yang diperkenalkannya," katanya.

Sivakumar berkata beliau "tidak tahu" kos pembinaan replika itu yang didirikan oleh satu jawatankuasa kecil sambutan festival itu - kerjasama antara Majlis Hindu Malaysia dan kuil berkenaan.

Jelasnya lagi, wang itu disumbang oleh masyarakat sekitar dan peniaga di kawasan kompleks tersebut.

Festival yang julung kali diadakan akan diraikan secara tahunan memandangkan sambutan menggalakkan, sehingga 10,000 orang, daripada masyarakat pelbagai kaum, tambah Sivakumar.

Pesta tersebut dimeriahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, pertunjukan bunga api dan gerai jualan.

Ketika kunjungannya Sabtu lalu, Najib turut diperdengarkan lagu tema slogan perdana menteri itu dalam irama hip hop dan R&B buat pertama kalinya.

Lagu berbahasa Inggeris bertajuk "One Malaysia, Living Harmony" itu dihasilkan tiga remaja India, V Vishal dan pasangan kembar, K Rashmika dan K Raanita.

Pengliporlari - Mungkin patung 1 malaysia tu nak diusung ke Permatang Pasir untuk menandakan 1 lagi kekalahan UMNgOk/BN dalam PRK..??!!?

Berita sebelumnya....

Selepas replika gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan DUN Batu Caves menjadi kontroversi antara PKR dengan Umno, kini patung besar Datuk Seri Najib Razak di situ dijadikan isu.


Namun seorang pemimpin PKR menyifatkan replika perdana menteri di perkarangan kuil Batu Caves yang dinaikkan "tidak ada masalah apa-apa" kerana "kami tidak pernah menganggapnya haram".


ADUN Batu Caves, Amirudin Shari menjadi sasaran kontroversi susulan kewujudan replika penasihat PKR akhir tahun lalu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Penegakan imej mula memancing kontroversi apabila mufti Perlis waktu itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa ia "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."

Selepas itu, banyak pihak mempertikaikan kehadiran replika besar itu di simpang utama dekat Wisma Keringat - selain dianggap "patung" yang dilarang oleh Islam, ia juga dianggap membazir.

"Tetapi bagi Umno (Gombak) yang ingin mengadakan demonstrasi, kita harap mereka mengambil pendirian yang sama (terhadap patung Najib)," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR.

"Begitu juga mereka yang mengeluarkan fatwa, mengharamkan replika Anwar. Kita harap mereka mengeluarkan fatwa yang sama."



Replika besar Najib dinaikkan beberapa ratus meter di depan patung besar Dewa Muruga yang berwarna emas - di pintu masuk gua Batu Caves - bersempena festival Satu Malaysia di situ selama tiga hari sehingga Ahad.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Umno Gombak menentang keras penegakan replika Anwar kerana imej besar berdekatan simpang jalan itu didakwa mengganggu kelancaran lalulintas.

Ketuanya Abdul Rahim Kamaruddin turut mengancam mengadakan "bantahan terbuka" sekiranya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membenarkan tempoh penegakannya dilanjut 
sehingga hari natal tahun lalu.

Menurutnya, ketika pemerintahan Umno di Selangor dahulu, parti itu hanya menggunakan imej besar untuk papan iklan, bagi tujuan perlancongan sahaja.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahim enggan mengulas mengenai replika presiden Umno itu buat masa ini dengan alasan "belum melihat sendiri imej tersebut".


Sementara blog rasmi Amirudin semalam menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin Umno dan Dr Asri yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar.

"Masa kita bina replika DSAI (Anwar) dulu di Batu Caves, semua pihak daripada BN bising bagai nak rak, termasuklah mantan mufti Perlis. 

"Sekarang kita mohon, apa pula fatwa membina replika Najib di kuil Batu Caves? Mana puak-puak BN atau Umno yang mulut bising hari itu," artikel penulis Shahabaker dipetik. 


Dalam tulisan 'Kata dulang paku serpih, dulu kata orang, sekarang kau pula lebih-lebih', penulis itu memuatkan kenyataan dua pemimpin Umno yang mengkritik isu replika Anwar, antaranya:

Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam waktu itu dilaporkan berkata, pembinaannya menunjukkan PKR "mendewa-dewakan pemimpinnya".

Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula dipetik berkata, pembinaan replika itu "tidak diizinkan di sisi agama" dan "usaha taksub" penyokong PKR yang bukan Islam.

P/S:1 Malaysia!Malaysia Boleh!

Wasiat!

Wasiat Raja-Raja Melayu

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.


Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:
Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan.
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Baca kat bawah pulak...

Wasiat Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ata mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU.

P/S:Renung-renungkan...wasiat manakah yang kita telah laksanakan?

Rabu, 29 Julai 2009

UMNO kini tiada maruah,dulu 'tendang' kami keluar-Tok Guru Nik Aziz


KOTA BHARU, 28 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa hubungan yang terjalin sekarang ialah di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan hubungan dengan parti Umno.  

"Hubungan negeri ialah dengan Kerajaan Pusat oleh kerana sistem yang diamalkan ialah sistem Federalisma, oleh itu tidak timbul hubungan dengan Umno,"kata Mursyidul Am PAS itu pada sidang media selepas melawat pameran ternakan di Padang Perdana dekat sini semalam. 

"Kerajaan Pusat ada kewajipannya kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri pula ada kewajipannya terhadap Kerajaan Pusat, maka kenapa mahu disekat (hubungan itu). 

"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri hendaklah menyentuh isu penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan," katanya. 

Dalam pada itu Nik Aziz berkata, tindakan parti lain di peringkat Pusat yang menghalang Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dari mendapat kemudahan daripada Kerajaan Pusat itu adalah tidak menurut Perlembagaan. 

"Tidak terdapat dalam Perlembagaan dan tidak terfikir pada akal fikiran manusia bahawa negeri Kerajaan Pakatan Rakyat dihalang oleh parti lain di Pusat dari mendapat kemudahan sepatutnya. 

"Kenapa peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak diberi terus kepada Kerajaan Negeri sebagaimana dilakukan Kerajaan Pusat ketika Kelantan diperintah Umno dahulu. Kenapa kini ditubuhkan JPP? 

"Apa kata kalau parti lain (Kerjaan Pakatan Rakyat) menguasai Pusat lalu menubuhkan juga JPP di negeri yang di perintah Umno, apa perasaan mereka," katanya sambil menyifatkan konsep Satu Malaysia dan demokrasi yang dilaung-laung bercanggah dengan tindakan dilakukan Umno Pusat ke atas Kerajaan Negeri. 

Oleh itu katanya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat mesti membantu Kerajaan Negeri, dan urusan membantu mana-mana Kerajaan Negeri bukan dilakukan dengan sukarela, tetapi melalui peruntukan Perlembagaan. 

"Kalau dia (Kerajaan Pusat) tidak buat juga, kita gulinglah. Pandailah kita guling. 

"Terbaru, ada Menteri yang tidak mengizinkan pegawai dia di Kelantan ini bekerjasama dengan Kementeriannya. Itu bukan sifat seorang Menteri,"katanya. 

Beliau turut menegaskan bahawa dasar perjuangan Umno dan PAS memang selamanya tidak sama. 

"Umno memang tidak serupa dengan PAS, bahkan pada setiap kali diadakan pilihan raya sama ada Pilihan Kecil atau Pilihan Raya Umum, Umno tetap melawan PAS. 

"Kerana apa Umno melawan PAS, setiap tahun sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya besar sedangkan sekiranya di dunia ini tidak ada Umno, (andai kata), orang Melayu boleh hidup molek, bahkan Islam itu sendiri boleh berkembang dengan baik, tegasnya 

Menteri Besar turut mengulas perkembangan mutakhir mengenai surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak bertujuan untuk bermujadalah. 

"Menerusi surat itu, saya bertanya dia kenapa Umno menolak Islam dan menggantikannya dengan 'Kebangsaan'. 

"Dan kenapa Umno melawan PAS. Di mana tidak kenanya kedudukan PAS khususnya dari segi agama dan Perlembagaan. Di mana tidak kena kedudukan PAS dengan Perlembagaan Persekutuan. 

"Sehingga kini dia tidak jawab-jawab pun (surat itu)," katanya. 

Dalam perkembangan politik semasa, beliau turut mengulas tindakan meninggalkan parti oleh anggota pimpinan Umno-BN termasuk mantan Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA Dato' Chua Jui Meng dan mantan Naib Presiden MIC, Dato'S S Subramaniam. 

Kedua-dua mereka memasuki Parti Keadilan Rakyat (KeADILan). 

Terdahulu mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Dato' Zaid Ibrahim memasuki KeADILan. 

"Insya-Allah, ramai lagi orang Melayu, Cina dan India yang sedar, mereka akan meninggalkan Umno-BN," katanya. 

Beliau mempertikaikan cadangan bekerjsama dengan Umno walaupun ada dakwaan bahawa dengan itu akan lebih memudahkan lagi kerjasama antara pemerintah. 

"Umno sekarang sudah tidak ada maruah. Nak minta bekerjasama dengan orang PAS). "(Tetapi) waktu kamu gagah dahulu kamu tendang aku (PAS) (keluar daripada Kerajaan Pusat). Saya ingat perkara itu," tegasnya sambil mengingatkan bahawa PAS menyertai Kerajaan Pusat ketika itu dengan jemputan daripada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

Selasa, 21 Julai 2009

NED dan Campurtangan asing dalam Politik

Dipetik dari www.tehranifaisal.blogspot.com,juga disiarkan dalam akhbar Siasah edisi 19-25 Julai 09 bilangan 0158.

National Endowment for Democracy (NED) mungkin kurang diperhatikan oleh penganalisis politik antarabangsa tempatan. 12 Jun lepas apabila Presiden Mahmoud Ahmadinejad memenangi pilihanraya presiden untuk Republik Islam Iran (menewaskan pencabar terdekatnya Mir Hossein Mousavi), NED menjadi perhatian. Iran mendakwa rusuhan yang meletus di kota Tehran selepas kemenangan Mahmoud didalangi oleh kuasa luar, yang tentu sahaja dinafikan oleh media Barat. Akan tetapi apakah ada kemungkinan dakwaan Iran tersebut benar?


Tentu sahaja, Iran adalah salah sebuah negara yang sering diganggu kuasa Barat. Amerika Syarikat misalnya pernah menjatuhkan Perdana Menteri Iran Mohammed Mossadegh dalam tahun 1953, dan menegakkan rejim Shah Reza Pahlavi untuk menjadi boneka mereka di sana. Hal ini misalnya diakui oleh presiden AS sendiri baru-baru ini, Barack Obama menyebutkan di Kaherah (dalam “ucapan damainya” kepada dunia Islam), bahawa “di tengah Perang Dingin, Amerika Syarikat memainkan peranan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Iran secara demokratik.’ (Lihat butiran Rumah Putih di di http://www.whitehouse.gov/the_press_office...ersity-6-04-09/). Dan apabila Shah jatuh digulingkan oleh rakyat menerusi Revolusi Islam pimpinan Imam Ruhullah Khomeini, sekali lagi kerja-kerja untuk mencampuri urusan pentadbiran Republik Islam Iran itu pun bermula di belakang tabir. Di sinilah munculnya NED.

NED adalah sebuah agensi separuh kerajaan yang didanai oleh Kongres AS dan beberapa individu yang tujuannya adalah untuk menyokong dan mendokong organisasi di luar AS yang pro polisi luar negara Rumah Putih. Hal ini disebut secara terang dalam laman rasmi NED bahawa penubuhannya sejak 1980 adalah untuk “membantu usaha demokrasi di negara yang dipercayai dapat memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan kepada pihak yang berhempas pulas memulihkan kebebasan dan hak asasi” (lihat David Lowe, Idea To Reality: A Brief History of the National Endowment for Democracy, http://www.ned.org/about/nedhistory.html).

Idea di belakang NED ialah untuk menjadi organisasi muka hadapan CIA dalam mencampuri urusan negara lain. Perkara ini malah diakui oleh salah seorang penubuh NED, Allen Weinstein, “Apa yang kita lakukan hari ini kebanyakannya dilakukan oleh CIA 25 tahun lalu.” (lihat William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, Common Courage Press, Monroe-Maine, 2000, halaman 180.) NED menyalurkan dana secara terus atau melalui badan lain terutama Institut Demokratik Nasional (National Democratic Institute, NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (International Republican Institute, IRI), yang aktif di banyak negara termasuk Malaysia (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia.asp dan http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Apakah cara kerja NED? Barangkali elok kita tinjau modus operandi NED di negara-negara yang pernah mereka dalangi. Kaedah pertama, di Nicaragua dalam tahun-tahun 1980-an, NED melakukan kerja batu api dengan memprovokasi aktiviti kepembangkangan. Apabila pembangkang menjadi kuat dan provokatif, pihak kerajaan akan mengambil tindakan keras terhadap pembangkang dan ini akan membolehkan kepercayaan sebahagian besar rakyat terhadap kerajaan yang telah dipilih menerusi cara demokrasi tergugat (lihat Susan F Rasky, CIA Tied to Nicaragua Provocations, dalam akhbar New York Times, 21 September 1988.)

Kaedah kedua, dalam pilihan raya di Bulgaria pada tahun 1990, NED menabur wang sebanyak AS$1.5 juta kepada parti pembangkang untuk menjatuhkan Parti Sosialis Bulgaria yang memerintah. Media Barat akan membantu usaha ini dengan meuar-uarkan analisis, pungutan suara rawak, dan pelbagai berita bahawa parti-parti pembangkang akan menumpaskan parti kerajaan dan apabila pembangkang gagal dalam pilihan raya tersebut, parti-parti yang didanai NED telah turun ke jalan raya untuk melakukan protes.

Kekacauan berlaku selama berbulan-bulan sehingga perdana menteri dan presiden Bulgaria akhirnya akur lalu meletakkan jawatan (lihat William Blum, halaman 157.) Corak kerja yang sama dilakukan di Albania pada tahun 1991, apabila NED membantu kerajaan komunis dan menaikkan Parti Demokratik yang didanai NED. Dalam tahun 1990 dan 1992, NED turut menjadi sumber kewangan kepada Cuban-American National Foundation, sebuah grup anti Fidel Castro yang berpangkalan di Miami. Cuban-American National Foundation ini pula bertanggungjawab mendanai Luis Posada Carriles, seorang teroris yang pernah melakukan pengeboman terhadap pesawat Cuba dalam tahun 1976 sehingga menyebabkan 73 orang penumpang terbunuh.

Kaedah ketiga, ialah dengan menyatukan beberapa parti pembangkang berlainan ideologi di bawah satu payung. Gabungan pembangkang ini akan didanai menerusi seorang tokoh yang dikenal pasti dengan harapan dapat menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kaedah ini dilakukan dengan berkesan sekali di Mongolia dalam tahun 1996. NED telah menyatukan beberapa parti pembangkang di bawah nama Pakatan Demokratik Nasional untuk menewaskan parti kerajaan yang berkuasa sejak 1992. Harus diingatkan gabungan pembangkang itu bukanlah parti anti-Barat atau Rumah Putih. Cuma parti tersebut enggan tunduk kepada beberapa polisi ekonomi serantau yang diatur AS.

Sebelum tahun 1996, media sekali lagi berperanan mempromosikan “terapi ekonomi” buat kerajaan Mongolia yang kononnya untuk menyaingi kuasa besar China dari segi perdagangan. Sebenarnya polisi ekonomi yang dimaksudkan adalah untuk membolehkan Mongolia membuka rangkaian bisnes anti-China, dan dalam masa yang sama syarikat-syarikat swasta Barat ini dapat menjadi menjadi perisik dan telinga untuk CIA.

Hal ini didedahkan oleh pengkaji yang sama iaitu William Blum menerusi bukunya, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower. Bentuk yang serupa dilakukan NED di Haiti untuk menggulingkan Presiden Jean-Bertrand Aristide. Dan contoh klasik ialah usaha NED di Venezuela dalam tahun 2002 untuk menggulingkan Presiden Hugo Chavez. Usaha tersebut gagal, malah salah seorang koresponden CNN mengakui ikut menjadi konspirator dalam rampasan kuasa 48 jam tersebut.

Kembali ke Republik Islam Iran, antara tahun 2005 ke 2007, NED misalnya telah memberi AS$345,000 kepada Yayasan Abdorrahman Boroumand, ABF, (perincian dana NED boleh dilihat di laman National Endowment for Democracy http://www.ned.org.) ABF ini pula adalah pengasas kepada gerakan penentangan nasional Iran, sebuah grup yang ditubuhkan untuk menjatuhkan “kerajaan mullah” di Iran. Menurut laman rasmi ABF, pengasas mereka Abdorrahman telah dibunuh secara rahsia oleh ejen kerajaan Iran di Paris dalam tahun 1991 (lihat laman Yayasan Abdorrahman Boroumand melalui http://www.iranrights.org/).

Penerima dana NED yang lain ialah Majlis Iran Amerika Nasional (NIAC), menerima AS$25,000 dalam tahun 2002, AS$64,000 dalam tahun 2005, dan AS$107,000 dalam tahun 2006. Di sinilah datangnya kaedah keempat NED iaitu “media training workshop” kononnya untuk melatih peserta mewakili masyarakat dalam bidang komunikasi awam. NIAC aktif menganjurkan bengkel dan seminar untuk tujuan “mengukuhkan kapasiti pertubuhan sivil di Iran.” Antara slogan bengkel anjuran NIAC adalah seperti merangsang pertumbuhan masyarakat madani, atau ke arah hak asasi dan lain-lain lagi (lihat http://www.ned.org/grants/06programs/grants-mena06.html#iran.)

Gerakan ini tentu sahaja telah dikesani oleh Iran. November 2008, lama sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohammad-Javad Zarif menuduh AS sedang merancang revolusi warna di Iran. Menurut beliau, kaedah yang diatur NED ialah dengan cara mengundang sarjana dari universiti-universiti di Iran untuk menghadiri konferens akademik di Barat, akan tetapi apabila mereka menyertai sesi undangan itu, sarjana ini akan menyedari mereka sedang berhimpun untuk membincangkan mekanisme menjatuhkan kerajaan Iran (lihat US Plotting Velvet Revolution in Iran?, Press TV, 18 November 2008 menerusi laman http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=75784...ionid=351020101)

Hal ini tidaklah mengejutkan kerana dalam bulan Februari 2006, Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice telah memohon dana mengejut dari Kongres sebanyak AS$75 juta dengan AS$10 juta akan diperuntukkan untuk “merangsang kempen propaganda menentang Tehran.” Wang sebesar itu akan disalurkan untuk “siaran radio dan televisyen bahasa Parsi dari AS, memberi biasiswa kepada pelajar yang ingin menuntut di AS dan untuk mendanai gerakan prodemokrasi di Iran. Menurut Rice, “dana itu penting untuk menunjukkan AS menyokong aspirasi kebebasan dan demokrasi yang menjadi hak rakyat Iran” (lihat Ewen MacAskill dan Julian Borger, Bush Plans Huge Propaganda Campaign in Iran, Guardian, 16 Februari 2006http://www.guardian.co.uk/media/2006/feb/16/usnews.iran)

Kaedah kelima NED, ialah dengan menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang disasarkan seraya melakukan penyebaran propaganda menerusi semua media (untuk menyelewengkan maklumat dan berita) bahawa negara tersebut sedang disalah urus. Buktinya, laporan ABC News dan Telegraph yang menyebutkan Presiden George Bush telah memberi izin kepada CIA untuk melancarkan operasi hitam untuk menjatuhkan kerajaan Iran yang ada sekarang. Caranya dengan “menjalankan kempen maklumat salah bertujuan menjejaskan kestabilan dan akhirnya, pemerintahan teokratik para mullah.”

Pelan asal tersebut yang digerakkan oleh NED ialah dengan memanipulasi matawang Iran supaya kedudukan ekonomi republik tersebut terjejas (lihat Bush Authorizes New Covert Action Against Iran, ABC News The Blotter, 22 Mei 2007 http://blogs.abcnews.com/theblotter/2007/0...authorizes.html dan laporan Tim Shipman, Bush sanctions “black ops” against Iran, Telegraph 27 Mei, 2007 http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/...ainst-Iran.html)

Kaedah keenam, NED cekap menggunakan media baharu (termasuk blog, Facebook, Friendster, Youtube, dan Twitter) untuk mencetuskan keadaan huru-hara di sesebuah negara. Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, Iran menerusi apa yang dikenali di Barat sebagai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah mendedahkan upaya dari luar untuk menjatuhkan kerajaan. Badan tersebut menyebut Belanda, AS dan Inggeris sedang mendanai gerakan anti kerajaan untuk mendorong revolusi kecil (lihat Iran uncovers cyber plot to topple government, Press TV, 11 April 2009http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=91129...ionid=351020101).

Seperti yang telah dimaklumi perarakan dan bantahan dari kumpulan pembangkang menyusul sebaik sahaja kemenangan besar Presiden Mahmoud Ahmadinejad diumumkan. Rusuhan dan protes malah menjadi buruk dengan kemudahan awam seperti bas dan telefon publik dimusnahkan oleh penyokong Mir Houssein Mousavi. Pihak berkuasa terpaksa bertindak. Para militari Basij yang setia kepada Imam Ali Khamenei dituduh menyerbu Universiti Tehran dan membunuh perusuh yang membantah keputusan pilihan raya tersebut. Antara demonstran yang terbunuh ialah Neda Agha Soltan. Kematian Neda malah dirakam dalam video dan tersebar meluas di Youtube (lihat Michael Weissenstein and Anna Johnson, Amateur Video Turns Woman Into Icon of Iran Unrest, Associated Press, 23 Jun 2009 http://www.google.com/hostednews/ap/articl...aesBPAD9902QK00)

Di tengah-tengah huru-hara ini, kerajaan Iran yang menyedari peranan internet dalam merosakkan keamanan telah menutup sistem internet dan melarang jurnalis asing dari membuat apa-apa laporan. Twitter muncul sebagai medium komunikasi parti pembangkang dan agensi berita asing. Apakah itu twitter? Twitter adalah satu bentuk maklumat ringkas yang dapat dicapai menerusi web browser atau sistem pesanan ringkas di telefon bimbit. Pengguna boleh mendaftar untuk mendapatkan maklumat terkini tentang sesuatu kejadian. Meskipun menutup semua sistem sms, Twitter bagaimanapun tidak dapat ditutup oleh kerajaan Iran. Di sinilah timbul tanda tanya kerana Washington Post sendiri mengesahkan bahawa kebanyakan maklumat dari Twitter ini bukannya datang dari Iran sendiri, “It is hard to say how much twittering is actually going on inside Iran” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html).

Perkara ini disahkan oleh laporan New York Times yang mengatakan maklumat menerusi Twitter kebanyakannya tidak boleh dipercayai, “Just as Twitter has helped get out first-hand reports from Tehran, it has also spread inaccurate information, perhaps even disinformation.” Akhbar itu menyebutkan antara berita terkini yang tidak benar ialah 3 juta penyokong Mir Hussein keluar membantah, dan beliau ditahan dalam rumah, “that three millon protested in Tehran last weekend (more like a few hundred thousand); that the opposition candidate Mir Hussein Moussavi was under house arrest he was being watched” (lihat Noam Cohen, Twitter on the Barricades: Six Lessons Learned, New York Times, 20 Jun 2009 http://www.nytimes.com/2009/06/21/weekinre...21cohenweb.html)

Maklumat tidak benar (perarakan tiga ribu menjadi 3 juta) menerusi Twitter itu kemudiannya dilaporkan oleh penulis blog terkenal Andrew Sullivan menerusi blognya The Daily Dish (lihat Andrew Sullivan, Follow-Up On Earlier Posts, The Atlantic, The Daily Dish, 13 Jun 2009 http://andrewsullivan.theatlantic.com/the_...lier-posts.html) Laporan penuh penyelewengan tersebut kemudiannya dipetik pula kebanyakan agensi berita seperti CNN dan AP. Peranan CIA dan NED dalam Twitter wajar diragui kerana apabila firma yang menguruskan Twitter iaitu Twitter Inc perlu melakukan kemaskini berjadualnya seperti biasa, kerajaan AS telah meminta supaya Twitter Inc menangguhkan “scheduled maintenance” tersebut.

Ini kerana Jabatan Negara berpandangan yang Twitter sangat berguna untuk orang ramai di Iran mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seorang staf Jabatan Negara telah mengatakan, “one of the areas where people are able to get out the word is through Twitter. They announced they were going to shut down their system for maintenance and we asked them not to” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html). Mengapakah Rumah Putih mencampuri jadual kemaskini Twitter tentu sahaja menimbulkan teka-teki.

Kaedah-kaedah yang digunakan NED di Iran dan negara lain munasabah untuk direnungi oleh Parti Islam Se-Malaysia selaku sebuah gerakan Islam. Sudah tiba masanya PAS mempunyai mekanisme sendiri untuk menebat dan mengekang kemaraan musuh yang semakin sofistikated dan bijak dalam menyucuk jarum. PAS perlu menyediakan satu pelan khusus untuk memantau gerakan musuh dalam selimut, mengenalpasti mereka dan menyingkirkan mereka tanpa rasa bersalah. Untuk itu PAS perlu menganalisis strategi politik mereka supaya tidak terjerumus dalam jerangkap musuh ummah.

Semua kaedah NED di atas telah pun diamalkan dan dikemukakan di Malaysia. Kita sudah menyaksikan gerakan massa berasaskan warna, Bersih yang dikenali dengan warna kuning. Bersih, menurut NDI, “was started by the Joint Action Committee on Electoral Reform (JACER) that emerged from a July 2005 workshop organized by NDI and attended by the three main opposition political parties,” (lihat http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Parti-parti politik tempatan termasuk PAS sendiri pernah terlibat dengan bengkel dan latihan dikendalikan NDI dan IRI yang didanai NED (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia/2006-08-06-Malaysia.asp.) Merdeka Center, sebuah badan kajian pendapat yang ada kalanya boleh dipersoalkan hasil kajiannya juga mendapat dana daripada IRI (lihat http://www.merdeka.org/pages/08_links.html.)

Sudah tiba masanya PAS mengurangkan syahwat terhadap kuasa dan kerusi lantas kembali kepada fungsi asalnya iaitu untuk menjadi juara kepada umat Muslim. Untuk itu agenda perpaduan ummah mesti didahulukan berbanding agenda-agenda lain yang mungkin sahaja telah “disediakan” musuh umat seperti AS. Pimpinan PAS perlu rajin meneliti perkembangan politik antarabangsa, dengan memperkuatkan lajnah antarabangsa dan menghasilkan bahan-bahan latihan dan usrah baharu yang lebih membina kefahaman tentang dunia kontemporari. Tidak ada salahnya juga untuk PAS belajar dari negara-negara yang pernah diganggu AS.

Yang paling dekat dengan PAS tentunya Republik Islam Iran.